Sudah lama tidak mendengar cerita pelakon Hafidz Roshdi dengan bekas isterinya Nurul Shuhada selepas perceraian mereka pada tahun 2023.
Terbaru, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini menetapkan 30 September depan untuk keputusan tuntutan hadanah Hafidz yang memohon hak penjagaan ke atas dua anaknya, Humairah dan Umar.
Peguam yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata Hafidz bersama dua saksi sudah memberi keterangan hari ini dan pihaknya memohon kepada mahkamah untuk meneruskan kes memandangkan bekas isterinya itu tidak hadir.
“Alhamdulillah, tadi perbicaraan penuh untuk tuntutan hadanah penuh sudah selesai. Hafidz sudah bagi keterangan dengan dua saksi dan mahkamah berikan satu tarikh untuk masuk hujah bertulis dan keputusan.
Jadi, memang Shuhada tak datang dan tiada penjelasan atau apa-apa diberi melalui surat dan sebagainya… Tiada apa-apa.
Jadi, bererti dia memang tidak ambil peduli langsunglah. Saya pun mohon untuk kes diteruskan tanpa kehadiran dia dan mahkamah pun benarkan. Hafidz sudah bagi keterangan diikuti saksi pertama dan kedua. Kita panggil dua orang saksi.
Semuanya sudah selesai bagi keterangan dan mahkamah pun benarkan kami untuk menutup kes dan masuk hujah. Tarikh keputusan adalah pada 30 September ini,” katanya.
Menurut peguamnya itu, Shuhada yang diberikan perintah interim hadanah sebelum ini melanggar perintah mahkamah di mana Hafidz mendapat izin untuk melawat anak-anak mereka.
“Sewaktu cuti sekolah, hakim sudah bagi perintah yang spesifik bahawa Shuhada kena serahkan kepada dia masa cuti sekolah selepas itu, tapi itu pun tidak dipatuhi.
Jadi, perkara ini pun sudah dimaklumkan kepada mahkamah. Pendek kata, sejak Ogos 2023 sehingga hari ini, Hafidz atau keluarganya tidak pernah berjumpa dengan kedua-dua anak, Humairah dan Umar,” kata peguam itu.
Dalam pada itu, Hafidz berharap agar keputusan yang akan dikeluarkan mahkamah pada 30 September ini akan memihak kepadanya.
Sumber: Berita Harian