Ambil video daripada pemilik asal dan sunting untuk memperdaya orang ramai agar bersimpati tentang satu insiden ini, walhal memang sudah dijelaskan dalam video tersebut ia adalah lakonan semata-mata.
Perkara itu yang terjadi baru-baru ini dan kesannya sampaikan ada pihak tertentu turun padang sebab sangka memang betul ada orang yang memerlukan bantuan.
Artikel Berkaitan : Isu Adegan Ghairah, Umie Aida Perjelas Ada Pihak Sengaja Tayang Versi Belum Sunting
Artikel Berkaitan : “Menggeletar tangan saya” – Iqbal Terkilan Gambarnya Disunting Jadi Model Seluar Dalam
Cedok video, sunting untuk dapatkan rating
Kejadian itu berlaku di Pulau Pinang, selepas sebuah video berdurasi 2 minit 8 saat telah menimbulkan kekeliruan dan jadi penyebab pihak serta agensi termasuk pemimpin setempat dikecam gara-gara kandungan yang disunting itu.
Ia merupakan video eksperimen sosial memaparkan kegigihan seorang budak lelaki berniaga sambil ditemani adik perempuannya dekat Taman Robina, Butterworth hingga meraih simpati netizen.
Disebabkan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar, Azmi Alang, berkata beliau mula sedar setelah membuat semakan ketika melakukan tinjauan.
“Saya jadi pelik kerana setiap minggu menjadi rutin saya membuat tinjauan untuk bertemu peniaga dekat situ (Taman Robina) dan mengenali pemilik gerai yang dimaksudkan.”
“Ketika saya bertanyakan kepada pemilik yang juga suami isteri itu mereka memberitahu ada seorang pempengaruh ingin menyewa gerai mereka untuk menghasilkan satu kandungan video bagi melihat keprihatinan rakyat Malaysia.”
“Jadi itu pendapatan untuk mereka dan tidak salah pun mereka menyewa termasuk juga pempengaruh itu kerana video asal yang dimuatnaik sudah memaklumkan bahawa kandungan itu bersifat eksperimen sosial, namun ada individu yang telah sunting tanpa menyatakan itu adalah lakonan hingga membuatkan ramai yang percaya.”
Dalam pada itu, Azmi turut menegaskan bahawa perbuatan itu telah menyusahkan ramai pihak yang terpaksa membuat siasatan untuk memperjelaskan semula keadaan kepada orang awam agar tidak mudah terpedaya.
“Kalau rasa nak bantu orang susah, cari kemudian bantu mereka dengan cara yang betul dan mengapa sampai nak guna video orang lain yang tuan empunya sudah beritahu bahawa ia sekadar lakonan tetapi hendak juga buat seolah-olah perkara itu benar.”
“Orang sebegini hanya nak raih perhatian dengan mudah supaya cepat naik rating tetapi menyusahkan ramai orang dan memberi gambaran buruk kepada pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat.”
2 kanak-kanak hanya pelakon, owner gerai sebenar kena hadap pihak berkuasa
@zakatpenang ZPP menerima banyak pertanyaan tentang video yang mengisahkan 2 orang kanak-kanak yatim yang terpaksa berniaga di tepi jalan untuk kelangsungan hidup di lokasi yang dipercayai di Robina Park, Butterworth. Walaupun jelas, video itu sekadar satu eksperimen sosial yang bertujuan melihat reaksi masyarakat awam, ZPP masih berusaha mencari identiti sebenar kedua kanak-kanak tersebut bagi mengetahui apakah benar kehidupan mereka berada pada situasi seperti digambarkan. Kepada sesiapa yang mengenali mereka, sila maklumkan kepada ZPP dengan kadar segera. Keperhatinan anda amat dihargai. Hantarkan maklumat berkenaan kanak-kanak ini kepada: https://watsap.my/0187600939 atau inbox admin. #eskperimen #kanakkanak #tamanrobinatelukairtawar? #zakat #zakatpenang #kamiada #penang2030 #end2023 #fyp #fypシ
Sumber Berita Harian melaporkan bahawa, pemilik sebenar kedai dalam video itu ialah pasangan suami isteri, Muzafar Idris, 35, dan Noor Amrina Azmi, 34, yang mengakui bahawa gerai mereka telah disewa oleh seorang pempengaruh tempatan yang menghasilkan kandungan video terbabit dengan tujuan untuk membantu meningkatkan jualan mereka.
Namun, Noor Amrina mendakwa, konteks video berkenaan telah disalahtafsir apabila bahagian awal video yang memaparkan pemberitahuan bahawa ia merupakan sebuah video eksperimen sosial itu ‘dipotong’ dan kemudiannya dikongsikan pengguna lain menyebabkan ia dianggap seolah-olah satu kisah benar.
“Sehingga hari ini, sudah lebih 20 individu, agensi kerajaan antaranya Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan dari dalam dan luar negeri datang ke gerai kami bertanyakan mengenai keadaan kami sekeluarga.”
“Sebenarnya, bukan anak kami yang menjual sate ikan, itu hanyalah pelakon yang diupah pempengaruh terbabit dan gerai kami hanya digunakan bagi tujuan penggambaran.”
“Kami tidak sangka video itu akan tular sehingga sedemikian rupa dan kami memohon maaf sekiranya menyusahkan banyak pihak yang tampil dan ingin menghulurkan bantuan.”
Sebelum ini, tular satu video seorang kanak-kanak lelaki menjual pelbagai jenis makanan antaranya seperti sate ikan, otak-otak serta minuman dengan ditemani adik perempuannya.
Sumber : TikTok, Berita Harian