Ibu kepada remaja perempuan yang dicekup berkhalwat bersama seorang pemuda meluahkan rasa tidak puas hati dengan penguat kuasa agama yang menjalankan operasi cegah maksiat di sebuah rumah kampung di Sungai Seluang, Kulim, susulan aduan orang awam.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, wanita berusia 70-an itu bertindak mempersoalkan tindakan anggota penguat kuasa dan menyoal individu yang membuat aduan berkenaan sehingga serbuan dibuat.
Alasan warnakan rambut
Ketika serbuan dilakukan tengah malam tadi, wanita terbabit bersama seorang lagi individu dikatakan sedang menonton televisyen di ruang tamu.
“Ketika diketuk, pintu rumah dibuka oleh wanita tersebut, namun pemeriksaan selanjutnya menemui sepasang remaja berada dalam sebuah bilik.
“Pengakuan dibuat pasangan itu bukan suami isteri dan bukan mahram, remaja perempuan berusia 17 tahun memaklumkan ibunya tahu mereka berada dalam bilik dan tidak melarang mereka kerana dikatakan tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Artikel berkaitan: Bagi Alasan Sakit Perut, Remaja Lelaki Kantoi Berkhalwat Dengan Warga Indonesia Di Hotel
Artikel berkaitan: Lelaki Kantoi Bersekedudukan Dengan Isteri Orang Sebab Terpikat Dengan Sambal Nasi Lemak
Jelasnya, pemuda berusia 20 tahun itu berasal dari Pulau Pinang, sedang bekerja di sebuah bengkel sementara menunggu pekerjaan baru kerana baharu diberhentikan kerja.
“Kedua-dua saling mengenali sejak lapan bulan lalu melalui aplikasi media sosial TikTok dan berhubung melalui Telegram.
“Lelaki itu datang ke rumah perempuan pada malam tadi dikatakan bagi tujuan membantu mewarnakan rambut,” jelasnya.
Malah, pemuda terbabit turut mengaku kerap ke rumah tersebut kerana menghantar makanan dan membantu ibu remaja perempuan itu.
Sehubungan itu, kedua-duanya ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Sinar Harian
