Keadaan kanak-kanak usia 2 tahun yang menjadi mangsa serangan anjing liar sebelum ini dilaporkan menunjukkan perkembangan apabila dia kini sudah mampu bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan.
Bahkan, ibu saudara kepada Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi juga memaklumkan bahawa mangsa dikatakan sudah boleh membuka mata, namun masih belum memberikan sebarang maklum balas.
Artikel berkaitan :“Meronta-ronta mungkin menahan sakit melampau” – Ibu Mangsa Serangan Anjing Liar Kongsi Haira Sudah Sedarkan Diri
Artikel berkaitan : Polis Sahkah Bangkai Kucing Di UM Akibat Serangan Anjing, Tiada Unsur Penderaan Manusia
Bakal jalani pembedahan plastik

Ibu saudaranya yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 23, memaklumkan bahawa perkara itu dimaklumkan oleh ibu bapa Nur Haira yang kini berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi menemani anak mereka.
Dalam perkembangan terkini, Nur Haira dijangka bakal menjalani pembedahan plastik pada bahagian kepala dan muka tidak lama lagi.
Katanya, prosedur berkenaan merupakan antara pilihan yang ada untuk membantu memulihkan kecederaan yang dialami kanak-kanak tersebut memandangkan rawatan atau pembedahan biasa tidak sesuai untuk keadaannya.
“Itu cara yang ada untuk memulihkan kecederaan memandangkan rawatan atau pembedahan biasa tidak sesuai.”

“Apa yang kami diberitahu, Nur Haira sudah mampu bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan. Dia juga sudah boleh membuka mata cuma tiada maklum balas.”
Menurut sumber, pasukan perubatan masih memantau keadaan Nur Haira. Bahkan, keluarga juga berharap agar orang ramai dapat terus mendoakan supaya kanak-kanak itu diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menjalani rawatan.
Belum reda kebimbangan, muncul pula 10 ekor anjing liar lain

Dalam masa yang sama, penduduk di Kampung Tambak, Peserai nampaknya masih belum boleh menarik nafas lega. Ini kerana selepas kejadian yang menimpa Nur Haira, muncul pula sekumpulan anjing liar lain yang dipercayai berkeliaran berhampiran kawasan rumah penduduk.
Nur berkata, kira-kira 10 ekor anjing dilihat berada di kebun sawit di belakang rumah datuk Nur Haira sekitar jam 11 pagi tadi. Lebih membimbangkan, kelibat kumpulan anjing berkenaan turut sempat dirakam sebelum ia kemudiannya hilang di kawasan sekitar.
Menurutnya, sebelum ini pihak berkuasa sudah menangkap tujuh ekor anjing termasuk lima anak anjing yang dipercayai menyerang Nur Haira. Bagaimanapun, tiga ekor lagi masih belum berjaya ditangkap dan dipercayai masih berkeliaran di sekitar rumah.
“Namun, muncul pula sekumpulan anjing liar lain yang dikhuatiri mengundang masalah dan mengganggu ketenteraman penduduk. Kami tidak mahu kejadian menimpa anak saudara saya baru-baru ini berulang,” katanya.
Penduduk kini pastinya berharap kemunculan kumpulan anjing liar baharu itu dapat diberi perhatian segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang, terutama membabitkan keselamatan kanak-kanak di kawasan berkenaan.
Sumber: Harian Metro
