Semalam, pelakon Uqasha Senrose telah memuat naik sebuah video permohonan maaf menerusi Insta Storynya daripada seorang wanita yang pernah mendakwa Uqasha merupakan seorang pembuli dan gengster.
Difahamkan, wanita yang memohon maaf ini bukanlah individu yang memulakan isu pembuli itu, sebaliknya dia telah mengulas dan menuduh Uqasha menerusi sebuah perbualan bersama individu lain menggunakan direct message di media sosial.
“Dia telah menyebar kan aib mengata kan saya gengster dan pembuli kepada seseorang di DM dan DM tu dapat pada saya, punya dia nak buat orang percaya saya gangster dia siap cakap demi Allah… Takpe saya dah maafkan awak juga,” tulis Uqasha.
Menerusi video yang berdurasi 45 saat itu, wanita berkenaan telah tampil untuk memohon maaf atas segala tuduhan yang telah dilontarkan kepada Uqasha serta menarik balik semua kata-katanya sebelum ini.
“Saya ingin buat pengakuan bahawa saya telah mengatakan Uqasha Senrose seorang yang gengster dan seorang pembuli. Saya ingin menarik balik semua kata-kata saya.”
Dalam pada itu, wanita terbabit turut menjelaskan bahawa semua itu berpunca dari pergaduhan yang membabitkan dirinya dan adik Uqasha, jadi pelakon itu mempertahankan adiknya sewaktu kejadian tersebut.
“Dia bukanlah sebenarnya pembuli atau gengster tapi cuma saya pernah bergaduh dengan adik beliau, dia cuba untuk mempertahankan adiknya.”
“Saya di sini dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf kepada Uqasha Senrose kerana telah mengaitkan nama dia dengan hal ini. Sekali lagi saya ingin memohon maaf,” katanya.
Terdahulu, telah tular sebuah ciapan daripada seorang individu yang menuduh Uqasha adalah seorang pembuli ketika zaman sekolahnya, namun ciapan itu telah dipadam selepas Uqasha membuat laporan polis dan melantik peguam untuk isu tersebut.
Sumber : Instagram (@uqashasenrose2)