Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang berjaya menyelamatkan diri ketika cuba dicederakan ibunya di rumah mereka di Taman Perak, Kulim kelmarin dilaporkan masih mengalami trauma akibat kejadian itu.
Dalam insiden kira-kira jam 11.05 malam, mangsa sempat meloloskan diri selepas ikatan kain yang mengikatnya terlerai, manakala ibunya pula ditemui sudah tergantung.
Artikel berkaitan: Remaja Lari Rumah Kerana Takut Kena Ganti Duit Ibu Lepas Gagal Ujian B2
Artikel berkaitan: Wanita Ditemui Maut Lepas Bun*h Anak Perempuan Umur 4 Tahun, Anak Lelaki Sempat Larikan Diri
Adik perempuan mangsa berusia empat tahun turut ditemukan tidak bernyawa di atas tilam dalam sebuah bilik, dipercayai dibunuh ibu mereka sebelum cuba mencederakan mangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad memaklumkan bahawa Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima maklumat awal daripada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan Hospital Kulim mengenai waris kanak-kanak itu.
Menurutnya, pihak JKM turut berjaya menghubungi bapa kandung mangsa yang mengesahkan keadaan anaknya kini masih trauma dan sedang dirawat di Hospital Kulim.
Beliau berkata, bapa mangsa juga menyatakan kesediaan untuk menjaga kanak-kanak itu bersama keluarganya sebaik sahaja dibenarkan keluar hospital.
“Berdasarkan laporan perubatan, kecederaan kanak-kanak itu adalah pada bahagian leher akibat kesan jerutan pada hari kejadian.
Pelindung JKM akan melakukan lawatan dan siasatan di rumah bapa kandung untuk pemantauan selepas kanak-kanak itu dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang wanita dan anak perempuannya berusia empat tahun ditemukan mati di sebuah rumah di Taman Perak.
Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan cubaan bunuh mengikut Seksyen 307.
Sumber: Harian Metro
