Seorang individu yang didakwa melakukan cubaan menipu bertindak melompat keluar dari kereta apabila dia dibawa ke balai polis.
Kejadian itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Ahmad Azahari yang menyatakan ia berlaku di hadapan sebuah bank di Sungai Buloh ketika sedang menjemput individu terbabit yang merupakan penumpangnya.
Menurut pemandu terbabit, dia mengecam individu itu kerana pernah menjadi mangsa penipuannya yang tidak membayar tambang selepas menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Di awal perjalanan, individu terbabit ingin meminjam wang sebanyak RM100 dan akan membuat bayaran penuh setibanya di lokasi sepatutnya.
“Sebelum ini aku dah dapat penumpang ni, bila sampai di lokasi dia terus cabut lari dan tidak bayar. Report dengan Grab dapat refund semula.
“Hari ini dia pesan guna aplikasi lain, dari awal aku dah syak penumpang sama yang tipu aku. Awalnya dia cakap nak pinjam RM100 dan bila sampai destinasi kakaknya akan bayar, aku okaykan saja,” jelasnya.
Tindakan penumpang itu akhirnya membawa padah apabila pemandu berkenaan bertindak membawanya terus ke sebuah balai polis berdekatan sebelum individu itu nekad melompat keluar daripada kenderaan untuk melarikan diri.

Turut dikongsikan video mengenai kejadian terbabit, Ahmad Azahari turut berpesan kepada para pemandu e-hailing lain supaya berhati-hati dengan penumpang itu.
Lihat video di link ini.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dari pihak berkuasa mengenai kejadian terbabit.

