Bilangan kes baharu Covid-19 harian di Malaysia masih tinggi dan belum menunjukkan trend penurunan yang ketara. Ditambah pula dengan varian-varian yang lebih ganas dari sebelum ini, semua rakyat diminta untuk mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelak penularan wabak ini.
Usaha mencapai imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah berada di landasan yang betul dan kita sudah nampak cahaya di hujung terowong yang gelap.
Namun, masih timbul kerisauan terhadap varian Delta yang lebih ganas. Terkini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham mengatakan Varian Delta boleh membiak dalam hidung individu yang sudah menerima vaksin.
Memetik laporan Astro Awani, Tan Sri Noor Hisham berkata, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati varian itu membiak di dalam hidung individu yang sudah divaksin seolah-olah dia belum mendapatkan vaksin.
Walau bagaimanapun, individu yang telah divaksin tersebut masih dapat dilindungi daripada gejala yang teruk serta kematian akibat virus itu. Disebabkan pembiakan virus di dalam hidung, individu tersebut boleh menyebarkan virus berkenaan kepada orang lain.
Virus yang membiak itu sama kadar jangkitannya terhadap orang yang tidak divaksin, yang bermaksud orang yang sudah divaksin dapat menyebarkan virus itu dan menjangkiti orang lain” – DG Hisham
Jelasnya lagi, walaupun ada kemungkinan penyebaran berlaku daripada orang yang telah divaksin, mereka masih terlinfung daripada gejala yang lebih teruk serta kematian. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kemasukan penghidap virus tersebut ke hospital dan mengurangkan penggunaan katil di ICU.
Beliau juga mengesa orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 demi mengelakkan risiko yang lebih tinggi daripada terjangkit varian Delta tersebut.