Semalam, kita dikejutkan dengan satu tragedi yang menimpa penuntut cemerlang dalam bidang perakaunan, Aysar Zahran Saiful Alimin yang maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang.
Lebih menyedihkan, Aysar diceritakan sudah memasang impian untuk menjadi seorang akauntan terkenal di firma audit terbesar dunia suatu hari nanti.
Menurut bapa Allahyarham, Saiful Alimin Mohd Mokhtar, 58, anaknya itu yang pernah meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) peperiksaan Program Asas Perakaunan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA-FIA) pada 2023, beberapa kali memberitahu perkara itu kepadanya.
Saya memberi galakan sepenuhnya kepada dia kerana ia merupakan peluang kerjaya yang baik malah saya juga mempunyai beberapa rakan yang bekerja sebagai akauntan. Jadi, saya selalu beritahu Allahyarham supaya mengambil contoh daripada mereka.
“Walaupun sangat sedih kehilangannya, saya reda dengan kejadian ini,” katanya yang sugul ketika ditemui di Masjid Al-Muttaqin, Hulu Langat.
Bapa arwah juga menyifatkan Aysar sebagai seorang anak yang baik dan lemah lembut serta sentiasa menunggang motosikal dengan berhemah.
Ketika kejadian berlaku, Allahyarham yang merupakan pelajar semester dua di TYMBA Education Group dikatakan dalam perjalanan pulang ke kolej di Gombak selepas melakukan aktiviti memanah dan singgah ke rumah di Hulu Langat.
Artikel berkaitan: Angkara Alza ‘Makan Jalan’, Pelajar Cemerlang Bidang Perakaunan Maut Dalam Nahas 6 Kenderaan
Mahu bekerja di ‘the big four’ untuk tingkatkan ekonomi keluarga
Dalam pada itu, pensyarahnya Gary Danny, 29, berkata, Aysar Zahran pernah memberitahunya mengenai cita-cita untuk bekerja di satu daripada empat firma audit tebesar di dunia dikenali sebagai ‘the big four’ untuk meningkatkan ekonomi keluarganya.
Setahu saya Aysar Zahran bukan datang daripada keluarga senang dan dia turut menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.
“Saya mengenalinya sebagai seorang yang peramah dan mudah tersenyum serta mempunyai usaha tinggi untuk berjaya, dalam kelas dia memang suka duduk di barisan paling hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, bapa mangsa juga berharap kematian anaknya mendapat keadilan sewajarnya dan menyerahkan siasatan itu sepenuhnya kepada pihak polis.
Al fatihah buat Aysar Zahran…
Sumber: Sinar Harian