Bangtan Boys, atau lebih dikenali sebagai BTS bukanlah satu nama yang asing lagi. Kumpulan K-pop ini sudah pun menempa nama di dunia apabila berjaya memecah rekod video dengan jumlah tontonan tertinggi di Youtube dalam masa 24 jam baru-baru ini.
Beberapa hari lalu, menu istimewa kolaborasi antara McDonald’s dan BTS telah dilancarkan secara rasmi di beberapa buah negara, dan salah satunya adalah Malaysia.
Difahamkan, menu yang dikenali sebagai The BTS Meal ini didatangkan dengan nuget, sos cajun, sos cili manis dan air.
Namun apa yang istimewa tentang menu ini adalah ia didatangkan dengan beg kertas dan bekas makanan serta minuman bercorakkan logo BTS. Harga yang ditawarkan pula adalah RM16.20.
Dengan jumlah peminat BTS yang begitu ramai di Malaysia, tidak mengejutkan apabila The BTS Meal menerima sambutan yang sangat menggalakkan apabila ada ARMY yang ‘menyerbu’ McDonald’s seawal jam 10 pagi.
Lebih mengejutkan, ada juga beberapa ‘reseller’ yang bertindak menjual semula bungkusan The BTS Meal dengan harga yang sedikit mahal di Carousell.
Meninjau di Carousell, ada individu yang menjual dua set bungkusan The BTS Meal dengan harga sehingga RM200. Menurut penjual, bungkusan tersebut sudah pun disanitasi, dan kondisinya masih dalam keadaan yang baik.
Ada juga ‘reseller’ yang menawarkan harga serendah RM5.00 untuk beg kertas The BTS Meal. Harus diingatkan, McDonald’s menjual menu ini dengan harga RM16.20.
Meskipun harga yang ditawarkan oleh ‘reseller’ dilihat terlalu tinggi, difahamkan menu istimewa ini akan menjadi lebih bernilai dan bakal menerima permintaan tinggi pada masa hadapan kerana dikategorikan sebagai barang ‘rare’.
Buat anda yang masih belum mencuba menu istimewa ini, boleh dapatkan sekarang di McDonald’s!
BACA: Malaysia Antara Negara Terawal Bakal Lancarkan Set Menu BTS Di McDonald’s Pada 26 Mei Nanti