Kes pembunuhan seorang penuntut Kolej Poly-Tech MARA yang ditikam dengan begitu kejam di Ketereh, Kota Bharu telah mengejutkan masyarakat kerana bukan sahaja ditikam sebanyak 61 kali, malah suspek kes ini melibatkan remaja.
Berdasarkan kronologi laporan, mangsa Nurfisya Zulkifly yang juga seorang pelajar berusia 19 tahun baru kembali ke kolej selepas cuti semester menjadi korban dalam kejadian tragis itu.
Nurfisya ditemukan orang ramai sekitar jam 12.30 tengah malam di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh dengan beberapa kesan kecederaan serius di bahagian perut, belakang badan dan muka.
Mangsa yang mengambil jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di tempat kejadian.
Dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan mayat, polis bertindak pantas menahan empat suspek, terdiri daripada dua remaja lelaki (termasuk suspek utama) serta pasangan warga emas bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kronologi pergerakan mangsa
Mengikut sebaran laporan yang dipercayai daripada pihak berkuasa berhubung pergerakan mangsa sebelum waktu kejadian, mangsa dipercayai menaiki sebuah kereta Honda City berwarna hitam dan kemudian berada di sebuah restoran di Kota Bharu.
Mangsa kemudian pulang semula ke kondominium pada jam 1 tengah hari dan dilihat keluar semula dari kondominium kira-kira jam 8 malam.
Mangsa menaiki Perodua Bezza berwarna putih bersama seorang lelaki menaiki kenderaan sama dan membuat bayaran secara tunai.
Pada jam 11.34 malam, mangsa sempat memuat naik status WhatsApp sedang menikmati makanan sebelum mayatnya ditemukan di Ketereh.

Polis nafi dakwaan 105 tikaman
Susulan kes ini menjadi perhatian ramai, timbul dakwaan yang mengatakan mangsa ditikam sebanyak 105 kali.
Bagaimanapun, polis menepis dakwaan terbabit dan masih mengekalkan 61 kesan tikaman pada mangsa bunuh yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.
“Hasil bedah siasat yang dibuat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu kepada bahagian kanan badan.
“Ia tidak termasuk kesan calar atau luka kecil yang ada dan kita kekal dengan 61 kesan tikaman,” kata Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri.
Bukan itu sahaja, timbul juga dakwaan mengenai bapa salah seorang suspek yang dikatakan seorang pesara pegawai kanan polis berpangkat tinggi.
Pun begitu, dakwaan terbabit tidak benar dan polis meminta orang ramai jangan mempercayainya selagi ia bukan dari kenyataan rasmi dah pihak berkuasa.
Dalam perkembangan terkini, pasangan warga emas yang ditahan reman telah dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
Namun sehingga kini, polis memaklumkan motif sebenar pembunuhan masih belum dikenal pasti.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro
