Kalau korang suka tengok K-drama, mesti perasan kan banyak watak keluarga dalam cerita Korea hanya ada seorang anak sahaja kan. Rupa-rupanya, di dunia nyata pun, rata-rata rakyat Korea Selatan sememangnya hanya mempunyai maksimum dua orang cahaya mata. Kos sara hidup yang tinggi terutamanya di Seoul membuatkan mereka menolak jumlah anak yang ramai.
Disebabkan itu, populasi rakyat Korea Selatan juga semakin menurun sejak kebelakangan ini. Jadi, dalam usaha untuk meningkatkan lagi populasi penduduk, kerajaan negara itu telah mengeluarkan insentif terbaharu di mana bantuan kewangan akan diberikan kepada pasangan yang berkahwin, lapor UPI.Com.
Kerajaan Korea Selatan akan memberikan insentif sehingga RM369,279 iaitu 100 juta Won kepada pasangan suami isteri yang tinggal di bandar Changwon, Gyeongsang Selatan.
Difahamkan, mana-mana pasangan yang tinggal di bandar tersebut berpeluang untuk menerima insentif kewangan tersebut dan tiada faedah pinjaman akan dikenakan kepada mereka jika mereka melahirkan seorang anak.
Manakala, pinjaman tersebut tidak perlu dibayar semula jika mereka berjaya mempunyai tiga orang anak sebab wang tersebut akan dianggap sebagai hadiah kepada keluarga berkenaan. Jadinya, kalau taknak bayar pinjaman, dorang kena ada tiga orang anak lah kan.
Namun, jika mereka mempunyai dua orang zuriat, hanya 30 peratus daripada pinjaman tersebut sahaja yang tidak perlu dibayar.
Menurut Kim Jong Pil yang merupakan wakil Jabatan Perancangan bandar Changwon, polisi tersebut dibuat untuk menggalakkan pasangan untuk berkahwin dan memperolehi zuriat.
Tahun lalu, Korea Selatan telah merekodkan lebih banyak kadar kematian berbanding kadar kelahiran, lapor Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan negara itu.
Apa pendapat korang kalau Malaysia pun tawarkan polisi yang sama?