Sanggup tak korang minum air kencing haiwan, kalau ia terbukti memiliki khasiat dan manfaat untuk menguatkan ketahanan badan dalam melawan jangkitan virus? Hmm, kembang tekak dibuatnya kan.
Tapi jangan tak percaya, ia sebenarnya diamalkan di India dan antara salah seorang individu terkenal yang mengamalkan minum air kencing lembu setiap hari adalah bintang Bollywood Akshay Kumar.
Memetik laporan The Star, perkara itu didedahkan aktor berkenaan ketika beliau mencuba teh diperbuat daripada najis gajah dalam satu program televisyen bersama pengembara terkenal Bear Grylls.
Akshay berkata, beliau teruja dan tiada masalah untuk mencubanya — sebelum mendedahkan beliau sebenarnya minum air kencing lembu setiap hari sebagai rawatan ayurveda.
Sebelum ini, media melaporkan ada gerakan Hindu di India mengadakan pesta minum air kencing lembu kerana ia dipercayai dapat melawan jangkitan COVID-19.
Malah sebelum ini jutaan dolar juga diperuntukkan oleh Parti Barathiya Janata yang dipimpin Perdana Menteri Narendra Modi bagi melakukan kajian produk ke atas najis haiwan untuk digunakan sebagai penyembuh diabetes dan barah.
Meski tiada bukti manfaat perubatannya, namun beberapa aktivis dalam kumpulan itu sebelum ini pernah mempromosikan air kencing lembu sebagai alternatif rawatan COVID-19.