Orang lain yang buat hal, orang lain pulak yang jadi mangsa.
Itulah ayat yang sesuai bagi menggambarkan nasib seorang pekerja penghantaran barang selepas dia diculik dan dijadikan tahanan selama tiga hari oleh seorang penagih dadah yang tidak berpuas hati kerana dadah yang diterimanya bukanlah seperti apa yang disangka.
Detik.com melaporkan, mangsa, Riki Ricardi, 33, dijadikan tahanan selama tiga hari di Dusun Sungai Lilin, Daerah Bungo Jambi, Indonesia oleh Sapriadi, 36, selepas menghantar garam dan bukanlah dadah seperti yang ditunggu suspek.
Selain ditawan, mangsa turut dicederakan dan suspek ada meminta wang tebusan sebagai pengganti kerugian yang dialaminya gara-gara tidak menerima satu kilogram dadah jenis methamphetamine.
Tertuduh difahamkan, telah membelanjakan wang sejumlah Rp 65 juta (sekitar RM19,000) untuk dadah terbabit. Rp 50 juta daripada jumlah terbabit adalah sebagai deposit jaminan manakala baki RP 15 juta adalah sebagai pembayaran balik.
Menurut Ketua Polis Bungo, AKBP Guntur Saputro, mangsa dan suspek tidak mengenali satu sama lain. Pun begitu, tertuduh dikatakan membeli dadah terbabit dengan seorang penduduk Sumatera Barat yang hanya dikenali sebagai Nanda. Nanda dan mangsa pula difahamkan mengenali satu sama lain namun tidak rapat.
“Mangsa pada mulanya enggan menjadi kurier bagi menghantar barang terlarang itu. Pun begitu, selepas diyakinkan Nanda bahawa item yang bakal dihantarnya itu adalah garam dan upah sebanyak Rp10 juta bakal diterima, mangsa bersetuju,” katanya.
Laporan lanjut turut mendedahkan, tertuduh membuat keputusan meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa selepas gagal menghubungi Nanda bagi mendapatkan wangnya semula.
Sumber: Detik.com
Baca: “Terus kantoi” – Sangsi Dadah Miliknya Palsu, Lelaki Hubungi Polis Untuk Kepastian