in

Bekas PM Najib Razak Boleh Beri Sokongan Kepada Anwar Tapi Dengan Syarat…

Feat Najib Final

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilaporkan terkejut dengan cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mesyuarat antara pemimpin BN yang berlangsung di Menara Dato Onn petang semalam.

Masakan tidak, bekas PM itu menyatakan cadangannya untuk bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat tersebut.


Walau bagaimanapun, cadangan untuk mengadakan rundingan bersama Presiden PKR itu dibuat berserta dengan syarat tanpa melibatkan DAP.

Najib

Lapor Utusan Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata, beliau mencadangkan perkara itu selepas UMNO mampu untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Menurutnya, cadangan tersebut ditegaskan beberapa kali dalam mesyuarat Barisan Nasional (BN) semalam.

“Saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada bula Februari lalu walaupun pada masa itu Bersatu merupakan musuh kita yang banyak mengambil ahli-ahli parlimen UMNO,

Kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?” 

 

Terlibat dalam ekonomi

Antara syarat yang dikemukan oleh Datuk Seri Najib termasuklah membuka jalan untuk UMNO mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi.

Hal ini melihat kepada masa kini dimana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah memonopoli jawatan PM, menteri kanan yang paling kanan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi.

Manakala, wakil-wakil dari parti UMNO, Pas atau mana-mana parti lain tidak mempunyai sebarang jawatan dalam ekonomi.

Tambah Najib, dengan adanya langkah tersebut, kerajaan boleh merangka pelan bantuan dan ransangan ekonomi yang lebih efektif seperti melanjutkan moratorium pinjaman.

 

Percepat bantuan untuk Sabah

“Kita juga boleh mempercepatkan pakej bantuan khusus untuk Sabah yang amat diperlukan segera tetapi gagal dikeluarkan sejak sebulan dahulu walaupun impak kepada Sabah pada masa kini adalah amat parah.”

Najib juga turut beberapa kali meluahkan kekecewaan dengan pengendalian Covid-19 oleh kerajaan PN terutama kluster-kluster penjara yang menyumbang bahagian paling besar kes dalam gelombang ketiga ini.

 

Membantu mencegah Covid-19

Menurutnya lagi, walaupun UMNO tidak terlibat dalam kementerian tersebut, namun UMNO tentu akan disalahkan. Sekiranya UMNO diberikan peranan yang lebih besar, maka mereka boleh menyumbang kepada usaha untuk menyelesaikan kelemahan ini.

Najib juga menyatakan pilihannya untuk meneruskan sokongan bersyarat kepada kerajaan PN sehingga PRU-15 dengan melakukan rundingan semula syarat-syarat supaya UMNO dan BN diberikan peranan yang lebih besar terutamanya dalam hal ehwal berhubung rancangan ekonomi.

Datuk Seri Najib telah mengakhiri ucapannya dengan menyatakan bahawa itu adalah sekadar cadangan dan pendapatnya sahaja. Terpulang kepada parti untuk menilai dan membincangkan cadangan-cadangan tersebut.

Baca: Najib Razak Cadang Kerajaan Tambah RM1,000 Kepada Golongan B40 & M40 Sabah Baca Najib 1

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.