Lagi-lagi kes anak jagaan ditimpa kemalangan ketika di bawah jagaan pengasuh. Kali ni terbaru melibatkan seorang kanak-kanak berusia 10 bulan yang sedang sakit tenat. Menurut Harian Metro, Naufal Amsyar Nabil Fikri dipercayai telah terjatuh daripada buaian di rumah pengasuh.
Kanak-kanak tersebut kemudian dimasukkan ke Hospital Tangkak dan dilaporkan mengalami pendarahan mata, retak tempurung kepala dan lebam di dahi kiri. Ketika kejadian tersebut berlaku, ibu mangsa, Noraziqah Rohmat menerima panggilan daripada pengasuh yang nak maklumkan bahawa Naufal kini berada di unit kecemasan hospital.


“Saya terima panggilan daripada pengasuh ketika saya sedang bekerja dan dia beritahu Naufal kini berada di unit kecemasan di hospital.
“Pengasuh itu berkata anak saya tidak boleh bernafas dengan tiba-tiba ketika dia sedang beri makan. Dia kata dia cuba tepuk anak saya tetapi mata anak saya naik ke atas sahaja.
“Apabila saya sampai di hospital, Naufal sudah kritikal. Masa itu saya tanya pengasuh itu untuk beritahu kepada saya adakah anak saya pernah jatuh?” kata Noraziqah Rohmat.
Pengasuh tersebut pada mulanya mendiamkan diri, namun akhirnya memberitahu yang Naufal actually pernah jatuh buai dua kali. Allahu!
Buat masa ini, adik Naufal masih tak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada alat pernafasan sahaja. Manakala bapa bayi, Nabil Fikri Anwar berkata dia faham yang bukan senang nak jaga anak kecil namun dia kecewa kenapa pada awalnya pengasuh tersebut tak jujur bila ditanya tentang anaknya.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa dan saya faham bukan senang menjaga anak orang tetapi saya mahu dia jujur.
“Saya cuma ingin tahu pada hari kejadian, apa sebenarnya berlaku kepada anak saya,” kata Nabil Fikri.
Nabil Fikri yang jugak bertugas sebagai pembantu penguatkuasa beritahu yang dia tak kenal rapat dengan pengasuh tersebut dan mengupah wanita tu lepas isterinya berkenalan dengan suspek di Facebook. Malah dia jugak pernah merasa tak sedap hati kerana Naufal kerap merengek, susah tidur dan enggan dilepaskan apabila didukung mulai 10 Julai lalu.

Walau bagaimanapun, bapa mangsa berharap orang ramai janganlah membuat sebarang tuduhan melulu kerana kes masih lagi dalam siasatan.
Melalui posting Facebook terbaru ibu mangsa, dia berharap orang ramai mendoakan keadaan anaknya dan kedua ibu bapa ni amat merindui anak mereka yang sudah tidak sedarkan diri semenjak dimasukkan ke hospital.

Buat masa ini, pihak polis sudah pun menahan pengasuh wanita tu selama 4 hari mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
Bersabarlah wahai ibu dan ayah… Semoga Naufal cepat sembuh dan kebenaran sebenar terbongkar.