Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Darat (TD), kini sedang mempertimbangkan satu polisi baharu yang bakal memberi impak besar kepada para anggota.
Polisi ini dikatakan akan mengaitkan Indeks Jisim Badan (BMI) sebagai salah satu faktor utama dalam kenaikan pangkat serta pemilihan anggota untuk menyertai kursus kerjaya.
Menurut laporan Kosmo!, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menjelaskan bahawa cadangan polisi ini masih dalam proses kajian agar ia bersesuaian dengan keadaan semasa dan tidak menimbulkan sebarang ketidakadilan terhadap anggota.
Meskipun BMI sering digunakan sebagai ukuran berat badan ideal, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain menekankan bahawa ia bukanlah satu indikator mutlak bagi tahap kecergasan atau kekuatan fizikal seseorang anggota.
“Perlu difahami, BMI bukanlah satu konsep pengukuran fizikal yang optimum kerana belum tentu individu dalam lingkungan indeks yang dibenarkan mempunyai fizikal yang cukup kuat dan perkasa.
“Kita mahu seorang anggota tentera yang berbadan tegap dan maskulin. Contohnya, anggota yang bina badan, tentunya otot berat. Kalau tak tinggi, BMI anggota ini tetap akan tinggi. Begitu juga anggota sukan lasak,” jelasnya.
Selain itu, pihak ATM juga akan mengambil kira faktor usia anggota sebelum melaksanakan polisi ini.
Ia dijangka akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat, namun perincian lanjut mengenai syarat BMI yang akan digunakan sebagai penanda aras masih dalam perbincangan.
Sekiranya polisi ini dilaksanakan, ia pastinya akan memberi kesan kepada ramai anggota yang mungkin perlu lebih menjaga berat badan dan kecergasan mereka untuk memastikan kelayakan dalam kenaikan pangkat serta penyertaan dalam kursus kerjaya.
Apa pendapat anda tentang cadangan ini?