Kalau sudah ditentukan Tuhan, tidak ada perkara yang boleh lari daripada ketentuannya. Hal ini termasuklah berkaitan jodoh dan ajal maut yang menghambat kehidupan manusia. Sebagai seorang yang beragama Islam serta percaya kepada qada’ dan qadar, kita haruslah menerima takdirnya dengan hati yang terbuka.
Namun, hati bapa mana yang tidak sedih kalau tiba-tiba mendapat panggilan yang menyatakan anaknya sudah tiada. Menurut NST, Norhisyam Jailani telah menerima panggilan daripada seseorang yang bersuara tenang menyatakan anak perempuannya telah terkorban dalam satu kemalangan jalan raya.
Pada ketika itu, Norhisyam hanya menyangka ia adalah panggilan palsu atau prank call yang sengaja ingin mengenakannnya. Namun semuanya berubah apabila pemanggil tersebut yang merupakan seorang anggota polis menjelaskan cerita sebenar kepada lelaki berusia 74 tahun itu mengenai anaknya.
Menurut Berita Harian, Norsya’Baniah Norhisyam yang berusia 20 tahun telah meninggal dunia akibat kemalangan di Tol Batu Tiga awal pagi semalam (15 Januari) selepas kereta Perodua Kancil yang dinaikinya merempuh tembok plaza tol tersebut sekitar jam 6.36 pagi.
Ketika kemalangan tersebut berlaku, Norsya’Baniah bersama dua rakannya, Muhammad Azki Dahlan Jamit, 21, yang juga meninggal dalam kemalangan dan abang Azki, Muhammad Azri Dahalan Jamit, 23, yang mengalami kecederaan.
“Saya pada mulanya menyangka ia adalah panggilan palsu (prank call). Tapi selepas anggota polis itu menjelaskan hal tersebut kepada saya, barulah saya sedar apa sebenarnya yang terjadi,” kata Norhisyam yang bergegas ke Hospital Shah Alam sebaik menerima berita.
Jauh disudut hati Norhisyam dia masih berharap berita yang diterima itu adalah palsu semata-mata. Namun begitu, jantungnya bagaikan direntap apabila melihat jasad anaknya terkulai di hospital selepas disahkan meninggal dunia akibat kemalangan tersebut.
Norsya’Baniah difahamkan merupakan pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam (PSA) yang pada ketika itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Klang untuk menghadiri kuliah pagi. Kali terakhir Norhisyam bertemu dengan anaknya ialah ketika dia menghantar gadis tersebut di stesen komuter di Seremban, Negeri Sembilan pada jam 4 petang kelmarin.
Manakala isteri Norhisyam, Sohaini Md Sari, 45, berkata keluarga mereka baru saja pulang daripada bercuti hujung minggu di Air Terjun Jeramtoi, Jelebu. Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk dibedah siasat dan jenazah Norsya’Baniah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk, Port Dickson.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata pihak polis akan mengkaji rakaman CCTV di kawasan kejadian dan saksi kejadian sedang dicari untuk membantu siasatan. Kes ini bakal disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini. Takziah dan Al-Fatihah…
Baca: “Mama balik dulu…” – Ibu Bapa Maut Kemalangan Lepas Hantar Tiga Beradik Ke Kampung