Hollywood dikejutkan dengan kematian seorang pengarah dan pelakon terkenal Amerika Syarikat iaitu Rob Reiner bersama isterinya, Michele Singer Reiner hari Ahad lalu.
Pasangan ini ditemui mati di kediaman mereka di Brentwood, Los Angeles selepas Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) menerima panggilan kecemasan pada waktu petang. Lebih memilukan lagi, ketika mayat mereka ditemui, terdapat kesan kecederaan akibat senjata tajam yang menjadikan insiden ini terus diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan.
Namun, di sebalik berita kematian ini, siapakah sebenarnya beliau dalam industri perfileman? Apa konspirasi disebalik kejadian ini? Boleh baca selanjutnya di bawah ini
Pengarah Hollywood yang berpengaruh

Rob Reiner mula dikenali ramai menerusi wataknya sebagai Michael ‘Meathead’ Stivic dalam sebuah sitkom iaitu All in the Family yang melonjakkan namanya dalam industri hiburan sehingga beliau berjaya peroleh dua Anugerah Emmy.
Kemudian, beliau mula membina nama sebagai pengarah filem Hollywood dan antara karyanya yang paling diingati termasuklah filem Flipped, The Princess Bride, When Harry Met Sally dan banyak lagi filemnya yang lain memberikan impak besar dalam industri perfileman Hollywood.
Isterinya, Michele Singer juga merupakan seorang penerbit yang banyak menyokong perjalanan kerjaya seninya sepanjang perkahwinan mereka. Pasangan ini sering dijadikan contoh hubungan pasangan selebriti yang teguh bersama meskipun industri hiburan sangat mencabar.
Berita kematian yang agak tragis ini memang tidak dinafikan telah mengundang rasa dukacita yang mendalam, bahkan ramai juga menyifatkan kematian Rob Reiner ibarat seperti hilangnya satu permata dalam dunia industri perfileman Amerika Syarikat.
Punca kematian

Setakat artikel ini ditulis, punca rasmi kematian masih belum dikenalpasti lagi. Namun, laporan media antarabangsa mengatakan yang pasangan tersebut mempunyai kecederaan luka yang dipercayai berpunca daripada objek tajam.
Menurut Sinar Harian, LAPD mengesahkan, ketika mayat Rob dan Michele ini ditemui, badan mereka mempunyai kesan tikaman berulang kali.
Penemuan mayat pasangan ini juga ditemukan oleh anak perempuan mereka iaitu Romy Reiner yang segera menghubungi pihak berkuasa. Sejak itu juga, pihak polis terus tutup laluan jalan di hadapan kediaman keluarga Reiner ini, dalam masa yang sama, anggota penyiasat dilihat kerap keluar masuk rumah tersebut untuk menjalankan siasatan.
Meskipun punca rasmi kematiannya belum diketahui lagi, Ketua Polis LAPD iaitu Jim McDonell telah mengklasifikasikan sebagai kes ini sebagai kes pembunuhan dan ia dikendalikan oleh Bahagian Ragut dan Pembunuhan.
Anak lelaki ditahan polis

Sejurus itu, anak lelaki mereka iaitu Nick Reiner, 32, yang merupakan seorang penulis skrip telah ditahan atas dakwaan tuduhan membunuh. Beliau kini ditahan tanpa jaminan sementara siasatan lanjut masih dijalankan.
Dalam satu kenyataan polis, siasatan awal menerusi kediaman keluarga mereka ini mendapati yang Nick dipercayai bertanggungjawab terhadap kematian kedua-dua ibu bapanya.
Walau bagaimanapun, setakat ini motif kepada punca kematian pasangan itu masih belum didedahkan lagi oleh pihak berkuasa.
Jaminan yang ditetapkan pada Nick adalah sebanyak AS$4 juta (RM18 juta). Kes ini dijadualkan untuk dibentangkan kepada Pejabat Peguam Daerah Los Angeles pada hari Selasa (16 Disember 2025) bagi menentukan sama ada pertuduhan rasmi akan difailkan.
Nick mempunyai masalah peribadi

Keluarga Reiner sebelum ini sangat terbuka dan pernah berkongsi perjuangan Nick Reiner dalam melawan penyalahgunaan bahan terlarang dan ketagihan dadah, kisah ini telah menyumbang kepada pembikinan dan tayangan filem autobiografi tajuk Being Charlie pada tahun 2015.
Filem ini mengisahkan kisah seorang remaja yang bergelut dengan ketagihan dadah serta perjalanan yang sukar untuk kembali pulih seperti dahulu kala. Projek ini juga merupakan sebuah projek kerjasama antara Rob dan anak lelakinya sendiri yang diinspirasikan oleh pengalaman kehidupan peribadi mereka sebagai bapa dan anak.
Nick Reiner juga pernah mendedahkan pengalaman hidupnya sebagai gelandangan dalam satu temubual bersama People pada tahun 2016.
Saya pernah jadi gelandangan di Maine, New Jersey dan Texas. Ada masanya saya bermalam di jalanan, malah ia juga pernah berlarutan selama beberapa minggu. Ia bukan sesuatu yang mudah bagi saya,” katanya.
Menurut NY Post, Nick memang terkenal dengan sejarah masalah tingkah laku dan ketagihan dadah sejak usia muda. Beberapa individu yang mengenali keluarga itu juga mendakwa Nick dilihat sebagai individu yang bermasalah dan pernah bertindak agresif dengan merosakkan kediaman ibu bapanya semasa berada di bawah pengaruh dadah.
Terdapat juga dakwaan yang mengatakan hubungan Nick bersama ibu bapanya sudah tegang sejak sekian lama, ia dipercayai disebabkan dorongan ibu bapanya itu untuk mendapatkan rawatan masalah ketagihan Nick.
Difahamkan Rob bersama isterinya, Michele sering buntu dan risaukan keadaan anaknya itu yang sedang bertarung dalam melawan masalah ketagihan dadah. Mereka sentiasa menggalakkan Nick untuk mendapatkan bantuan profesional dan menjalani rawatan di pusat pemulihan, namun Nick sangat tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Perkara ini menjadikan Nick sering keluar masuk pusat pemulihan selama bertahun-tahun dan menjadi punca dia berdepan dengan hidup sebagai gelandangan semasa zaman remajanya. Perbezaan pandangan ini jugalah yang dikatakan menjadi punca pertengkaran yang berpanjangan dalam keluarga tersebut.
Walaupun begitu, ramai menyifatkan pasangan Rob dan Michele ini sebagai pasangan yang sangat baik hati dan penyayang, menjadikan berita mengenai kematian tragis mereka ini disifatkan sebagai satu kejutan besar buat orang ramai.
Sumber: BBC, The Hindustan Times, NY Post
