Seorang bapa berdepan detik cemas apabila anak perempuannya berusia tiga tahun hampir diculik oleh seorang lelaki warga Nepal di hadapan sebuah kedai makan di Kuala Muda, Kedah.
Dalam kejadian yang berlaku pagi semalam, lelaki tersebut meninggalkan mangsa seorang diri di atas motosikal yang diparkir di tepi jalan sementara mengambil makanan yang dipesannya.
Menurut pihak polis, bapa mangsa meletakkan motosikalnya di tepi jalan pada jarak kira-kira enam meter dari kedai tersebut.
Artikel berkaitan: Tersalah Curi Kereta Ada Budak Sekolah, Individu Teruk Dibelasah Orang Awam
Saksi kejadian mendakwa lelaki Nepal itu tiba-tiba meluru ke arah budak perempuan yang ditinggalkan bersendirian dan mendukungnya sebelum mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau pada leher mangsa.
https://twitter.com/redzuanNewsMPB/status/1728680120028975354
Lelaki Nepal itu bercakap dalam bahasanya meminta wang untuk makan kepada bapa mangsa yang berada di hadapannya.
“Bapa mangsa yang panik cuba menenangkan mangsa serta memujuk supaya suspek menyerahkan semula anaknya, lebih kurang dua hingga tiga minit. Dalam masa sama orang awam yang ada berhampiran berjaya menarik tangan suspek dari arah belakang dan mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.
Dakwa tertekan dan kelaparan

Difahamkan, suspek yang sudah ditahan mendakwa melarikan diri daripada majikannya kerana tekanan kerja.
Lelaki Nepal itu memasuki negara ini sejak sebulan lepas untuk bekerja di sebuah kilang di Kuala Muda dan majikan suspek pernah membuat laporan polis selepas dia melarikan diri.
“Soal siasat awal mendapati motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan kelaparan ketika kejadian kerana sudah beberapa hari tidak makan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Anak depan mata pun cuba diculik!
Sumber: Astro Awani
