Kemenangan penuh dramatik skuad kebangsaan Maghribi (Morocco) sekali lagi mencuri tumpuan dunia selepas berjaya menewaskan gergasi Eropah, Belanda (Netherlands) dalam aksi pusingan kalah mati yang cukup mendebarkan.
Dalam perlawanan sengit itu, Netherlands terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Cody Gakpo pada minit ke-72. Bagaimanapun, ketika kem Belanda seolah-olah sudah meraikan kemenangan, Issa Diop muncul sebagai wira Maghribi apabila menjaringkan gol penyama kedudukan pada minit ke-91 masa kecederaan untuk membawa perlawanan ke heretan masa tambahan.
Artikel berkaitan: “Balik rumah, solat 2 rakaat” – Pemain Maghribi Titip Nasihat Kepada Gessime Yassine Selepas Jaringkan Gol
Artikel berkaitan: Lelaki Ini Jadi Perhatian, Hanya Sempat Selamatkan PS5 Ketika Gempa Di Maghribi
Selepas kedudukan kekal 1-1 sehingga minit ke-120, kecekapan penjaga gol Yassine Bounou menafikan sepakan pihak lawan membuka jalan luarbiasa buat Maghribi sebelum Ismael Saibari tenang menyempurnakan penalti penentu untuk mengesahkan kemenangan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.
Sejurus wisel penamat ditiupkan dan kemenangan sah milik mereka menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 (setelah terikat 1-1), seluruh pemain dan barisan kejurulatihan Maghribi tidak menunggu lama untuk menzahirkan rasa cinta dan syukur mereka kepada Yang Maha Esa.
Momen Indah Di Atas Padang Jadi Tumpuan Dunia
Satu pemandangan yang cukup menyentuh hati peminat bola sepak seluruh dunia apabila seluruh skuad The Atlas Lions dilihat berkumpul di tepi padang dan melakukan sujud syukur bersama-sama.
Detik penuh emosi itu terus kecoh dan tular di serata media sosial, mempamerkan keindahan adab serta rasa rendah diri mereka walaupun baru sahaja melakar kejayaan besar menumbangkan pasukan lawan yang digeruni.
View this post on Instagram
Bagi peminat setia bola sepak, aksi sujud syukur ini bukanlah sesuatu yang asing buat skuad Maghribi. Malah, tradisi murni ini telah menjadi ‘identiti’ mereka sejak kempen Piala Dunia edisi lalu setiap kali mereka berjaya menumbangkan gergasi bola sepak dunia.
Cabaran Besar Menanti Di Pusingan 16 Terakhir
Dengan kemenangan hasil pengorbanan dan taktikal mantap ini, Maghribi secara rasminya telah mengesahkan slot berharga ke Pusingan 16 Terakhir (Round of 16).
Langkah seterusnya bakal menyaksikan Maghribi turun berentap menentang salah satu pasukan tuan rumah bersama, Canada, pada hari Sabtu ini bertempat di Stadium NRG, Houston.
