Seorang saksi kanak-kanak yang pernah menyoal Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di bilik asrama sekolah memaklumkan kepada Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia terkejut apabila mendapati pelajar Tingkatan Satu itu tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu.
Dalam prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, saksi kanak-kanak ke-10 itu menjelaskan bahawa selepas menyoal Zara Qairina pada malam 15 Julai berhubung dakwaan kes kecurian, dia telah berpindah ke dorm lain kira-kira jam 10 malam untuk tidur.
Artikel berkaitan: Kesan Darah Pada Kertas Yang Ditulis Sepadan Dengan DNA Zara Qairina – Saksi
Artikel berkaitan: Inkues Kes Zara Qairina : Peguam Negara Perjelas Kenapa Wartawan Dilarang Berada Dalam Mahkamah
Peguam keluarga Allahyarhamah, Shahlan Jufri, turut memberitahu mahkamah bahawa saksi tersebut menyatakan dia tidak keluar dari bilik itu antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi pada hari kejadian.
Shahlan memaklumkan bahawa saksi berkenaan memberitahu mahkamah, sekitar jam 9 malam pada 15 Julai lalu, dia diberitahu oleh rakan sebiliknya bahawa dompet mengandungi wang dan kad pengenalan milik rakan itu telah hilang, dan rakan tersebut mengesyaki Zara Qairina sebagai individu yang mengambilnya.
“Saksi berkata, dia meminta seorang pelajar lain untuk memanggil Zara datang berjumpa dengannya bersama rakan-rakan lain dalam bilik dorm saksi itu.
Perjumpaan pertama terdiri daripada saksi dan juga rakan saksi. Masa perjumpaan itu, saksi menyoal Zara dengan beberapa pertanyaan seperti: ‘Kau tahukah dompet, IC (kad pengenalan) pelajar ini hilang?’ dan ‘Kau ada curikah barang pelajar ini?’
Saksi berkata, Zara menjawab: ‘Tiada, saya tidak ambil.’ Saksi meminta rakan sebiliknya yang mengesyaki Zara mengambil barang itu untuk berada pada perjumpaan berkenaan. Ketika itu, Zara bersumpah ‘Wallahi’ dan Zara melafazkannya dengan jelas untuk menafikan dia mencuri barang berkenaan,” katanya.
Shahlan memaklumkan bahawa saksi memberitahu mahkamah, tidak lama selepas itu seorang pelajar telah masuk ke dorm berkenaan dan menyoal beberapa perkara kepada Zara Qairina.
Menurutnya, pelajar tersebut kemudian keluar sebelum kembali bersama dua lagi rakan mereka, dan ketiga-tiganya terus menyoal Zara berhubung isu kehilangan barangan pelajar.
Pada ketika itu, saksi berkata bahawa mereka cuba meyakinkan Zara supaya mengaku jika benar dia mengambil barang tersebut dan menjelaskan bahawa mereka tidak akan marah, namun Zara tetap menafikan dakwaan itu.
Selain itu, beliau berkata, saksi berkenaan turut mengesahkan perjumpaan dengan Zara Qairina pada malam 15 Julai lalu adalah terdiri daripada kumpulan pelajar ‘Circle Nineteen.’
“Saksi menyatakan dia menyertai kumpulan pelajar dikenali sebagai ‘Circle Nineteen’ terdiri daripada 19 pelajar perempuan yang rapat antara satu sama lain. Semua ahli kumpulan pelajar itu adalah dari kelas tingkatan sama tetapi mereka tinggal di blok asrama yang berlainan.
Saksi berkata dia tidak tahu sama ada kumpulan pelajar ‘Circle Nineteen’ ini juga menasihati pelajar lain apabila ada isu disiplin atau barang hilang, selain tidak tahu sama ada warden atau cikgu-cikgu lain mengetahui kewujudan kumpulan pelajar ‘Circle Nineteen’,” katanya.
Sementara itu, pasukan pakar forensik dokumen dijadualkan hadir ke Mahkamah Koroner untuk pusingan kedua pemeriksaan dokumen, bermula esok dan akan diteruskan pada 13 dan 14 Oktober ini.
Sumber: Berita Harian