Seperti yang sedia maklum, pihak kerajaan telah menguatkuasakan bahawa hanya warganegara Malaysia yang dibenarkan untuk mengisi minyak RON95.
Pun begitu, masih ada segelintir individu khususnya dari Singapura yang tidak serik dengan mengambil kesempatan untuk mengisi minyak petrol bersubsidi rakyat di negara ini kerana harganya jauh lebih rendah berbanding minyak negara mereka.
Terbaru, tular satu perkongsian yang dimuat naik menerusi media sosial Twitter yang memaparkan seorang warga Singapura berang kerana ditegur ketika mengisi minyak petrol di stesen minyak.
Menerusi ciapan tersebut, individu itu telah menegur sikap warga Singapura terbabit kerana mengisi minyak petrol bersubsidi namun kecewa apabila dibalas dengan kata-kata kasar.
“Plat asing (Singapura). Isi minyak kuning bila tegur cakap abang kerja sini ke? Lemah undang-undang sini. Bukan benda baru,” ciapnya.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku di sebuah stesen minyak di Johor.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen kesal dengan apa yang berlaku dan bersetuju dengan kenyataan individu terbabit mengenai penguatkuasaan di sini yang seolah-olah dipandang enteng oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Untuk info, tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak dan bukannya warga Singapura terlibat.
Justeru, adalah penting bagi pengusaha stesen minyak mengambil langkah proaktif bagi mengekangnya kerana perkara itu sudah dijelaskan ketika mereka mahu mendapatkan lesen perniagaan.
Baca:Goreng Ayam Dalam Minyak Masak Hitam, Menu ‘Street Food’ Indonesia Ini Jadi Tumpuan