Walaupun anda terleka hanya seminit dua, penjenayah yang licik akan cuba mengambil kesempatan dalam melakukan kerja jahat mereka. Oleh itu, ibu bapa diminta untuk sentiasa berwaspada walaupun sesaat ketika meninggalkan anak mereka sendirian di dalam kereta.
Dalam satu kejadian yang berlaku di Kangar Pulai, Skudai semalam, seorang wanita berhadapan dengan detik cemas apabila dua orang anaknya nyaris dilarikan penjenayah yang menyamun kereta.
Menurut Utusan Online, pada jam kira-kira 7.45 pagi, ibu yang berusia 32 tahun ini ingin menghantar dua orang anaknya yang berusia lima dan tiga tahun ke rumah bapa mereka di Taman Pulai Indah.
Namun sebaik sahaja tiba di hadapan rumah tersebut, wanita itu turun dari kereta dan pergi mengambil payung di bahagian but memandangkan hari sedang hujan. Secara tiba-tiba, seorang lelaki yang memakai topi kain berwarna biru terus masuk ke dalam keretanya dan bertindak melarikan kenderaan tersebut.
Mangsa yang cemas melihat kenderaannya dilarikan bersama kedua-dua anaknya itu telah cuba berpaut pada kereta jenis Myvi tersebut. Namun dia akhirnya terjatuh dan mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tapak tangannya. Aduhai kasihan!
Walau bagaimanapun, apabila suspek sedar terdapat dua orang kanak-kanak di dalam kereta yang dicurinya, dia bertindak untuk meningggalkan kedua-dua mangsa di dua lokasi berasingan yang terletak tidak jauh dari rumah bapa mangsa.
Namun syukurlah kedua-duanya telah ditemukan bapa saudara mangsa dan orang awam yang kemudian menghantar dua beradik tersebut pulang ke rumah datuk mereka. Nasib baik! Kalau tak, entah apa jadi…
Manakala kenderaan yang dicuri suspek pula malangnya terlibat dalam kemalangan di kawasan Ulu Choh, Pontian pada jam 8.45 pagi selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori. Haa tu lah nak buat kerja jahat lagi…
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamed berkata, suspek dipercayai telah melarikan diri dengan seorang rakan sebaik mereka terlibat dalam kemalangan. Usaha memburu kedua-dua suspek sedang giat dijalankan polis.
Buat masa ini, ibu kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut yang bekerja sebagai pembantu klinik enggan ditemubual oleh mana-mana media ketika ditemui di rumah bapanya.
Syukurlah budak-budak tersebut tak apa-apa. Semoga penjenayah berkenaan berjaya ditangkap polis.
Baca: Budak Perempuan Berusia 4 Tahun Nyaris Diculik Ketika Ditinggalkan Bapa Untuk Ke Tandas