Kerajaan Indonesia mengesahkan kematian 71 orang pekerja ketika Pilihan Raya Umum Indonesia yang juga pilihan raya sehari terbesar pernah diadakan di dunia.
Menurut Pengerusi Badan Pengundian Negara Indonesia, Hasyim Asy’ari, difahamkan seramai 4000 orang tenaga kerja lain jatuh sakit antara 14 Februari dan 18 Februari lalu akibat keletihan selepas bekerja ketika pilihan raya yang diadakan pada 14 Februari.
Artikel berkaitan: “Dah macam kenduri” – Netizen Malaysia Terkejut Tengok Pusat Mengundi Pilihan Raya Indonesia
Artikel berkaitan: Siapa Pengganti Jokowi? Kenali 3 Calon Presiden Indonesia Yang Bertanding Hari Ini
Pilihan raya yang diadakan baru-baru ini masih meragut berpuluh-puluh nyawa walaupun selepas kerajaan mengenakan had umur untuk sukarelawan dan mewajibkan pemeriksaan kesihatan selepas lebih 500 pekerja pusat mengundi meninggal dunia berikutan pilihan raya pada 2019.
Menurut The Star, seramai lima juta sukarelawan berbayar bekerja di 800,000 bilik mengundi di seluruh negara dalam pengundian minggu lalu yang berlangsung selama kira-kira enam jam.
Lebih daripada 200 juta rakyat telah didaftarkan untuk membuang undi mereka bagi memilih presiden, naib presiden dan penggubal undang-undang di peringkat nasional serta tempatan.
Antara sebab mengapa pekerja-pekerja ini keletihan adalah kerana proses pengundian di Indonesia memerlukan mereka bekerja sepanjang masa untuk mengedar, mengira dan melaporkan ratusan kertas undi yang boleh memakan masa lebih daripada 12 jam selepas pusat mengundi ditutup.
Sumber: The Star