in

5 Insiden Rampasan Kapal Terbang Yang Pernah Berlaku Dalam Sejarah Penerbangan, M’sia Pun Pernah?

Collage 19

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Rampasan kapal terbang merupakan satu tindakan keganasan yang dibuat oleh individu atau kumpulan terancang dengan mengambil alih penerbangan secara paksa. Insiden rampasan ini telah berlaku sejak dari awal kapal terbang digunakan sebagai pengangkutan iaitu dijangka sejak 1919 dan rampasan paling awal pernah direkodkan adalah pada tahun 1950-an.

Walaupun sekarang dah tak banyak insiden rampasan kapal terbang berlaku ekoran aspek keselamatan telah ditambah baik tapi ada beberapa rampasan yang masih disebut hingga sekarang termasuk yang pernah berlaku di Malaysia. Jom tengok!


Artikel berkaitan: Nahas Pesawat Terhempas Di Elmina Ulangi Tragedi 1977 Di Tempat Sama, Ini Apa Yang Berlaku…

Artikel berkaitan: 7 Bencana Kapal Terbang Paling Maut Di Dunia Termasuk Dua Penerbangan Malaysia!

1. 9/11 (2001)

Smoke Flames Twin Towers Attacks World Trade September 11 2001.Jpg

9/11 merupakan salah satu kes rampasan kapal terbang yang sangat-sangat terkenal di seluruh dunia dan boleh dikatakan salah satu rampasan kapal terbang paling teruk dalam sejarah penerbangan ekoran jumlah mangsa yang terkorban.

Serangan yang berlaku pada 11 September 2001 ini melibatkan empat kapal terbang yang telah dirampas dalam serangan bunuh diri kumpulan militan al-Qaeda terhadap Amerika Syarikat. Pada pagi hari kejadian, 19 pengganas telah merampas empat pesawat komersial yang dijadualkan terbang dari Pantai Timur A.S ke California.

Dua kapal terbang pertama telah merempuh Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York City iaitu dua dari lima bangunan tertinggi dunia pada ketika itu dan dua lagi pesawat disasarkan di Washington D.C.. Penerbangan ketiga telah merempuh Pentagon iaitu ibu pejabat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan pesawat keempat telah merempuh kawasan pedalaman Pennsylvania.

Serangan ini telah membunuh seramai 2,997 orang di mana 265 darinya merupakan penumpang dalam empat-empat pesawat tersebut dan selebihnya dari Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon. Ia sekaligus menjadikan insiden ini sebagai serangan pengganas paling membawa maut di dalam sejarah.

2. Pesawat Air France 139 (1976)

5217C53C C62B 47E3 8A22 409C7E9C552B.jpg

Berlepas dari Tel Aviv menuju ke Paris, Pesawat Air France 139 telah dirampas pada 27 Jun 1976 oleh empat individu. Dua dari mereka merupakan anggota Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin iaitu satu organisasi militan yang terkenal dengan rampasan kapal terbang yang berlaku pada tahun 1960-an dan 70-an. Manakala dua lagi merupakan anggota Puak Tentera Merah, sebuah organisasi pengganas sayap kiri Jerman.

Penerbangan ini turut dijadualkan untuk berhenti di Athens yang menjadi tempat di mana empat pengganas bersenjata telah merampas pesawat tersebut dan mengarahkan juruterbang, kapten Michel Bacos untuk terbangkan ia ke Libya untuk mengisi petrol sebelum mendarat di Uganda di mana mereka akan disambut oleh diktator Uganda, Idi Amin yang telah mengetahui tentang rancangan rampasan tersebut.

Apabila tiba di Entebbe, pelaku telah mengasingkan penumpang Yahudi dan Israel dari penumpang yang lain untuk dijadikan sebagai tebusan manakala yang lain dibebaskan. Mereka telah meminta wang tebusan sebanyak US$5 juta serta pembebasan beberapa rakyat Palestin dan militan pro-Palestin dari penjara Israel dan penjara-penjara di negara lain. Jika permintaan mereka tidak ditunaikan, mereka akan mula membunuh orang tebusan.

Pada 4 Julai, tentera Israel telah menghantar pasukan komando untuk membebaskan penumpang tersebut dalam satu misi yang dipanggil sebagai “Operasi Entebbe”. Ketika operasi tersebut, mereka berjaya menyelamatkan kesemua penumpang kecuali tiga yang dibunuh semasa kejadian tembak-menembak.

3. Pesawat TWA 847 (1985)

200911 Lerner Twa Hostage Crisis Embed1 Aidrhm

Pesawat Trans World Airlines telah membuat penerbangan dari Cairo ke San Diego melalui beberapa bandar apabila ia dirampas selepas membuat hentian di Athens semasa dalam perjalanan ke Rome.

Perampas, Mohammed Ali Hamadei bersama seorang lagi individu telah menahan 153 penumpang dan kru selama 17 hari dengan memaksa kapten kapal terbang untuk berulang-alik beberapa kali di antara Algeria dan Lebanon sebelum mendarat di Beirut.

Ketika rampasan ini, mereka telah memukul beberapa orang tebusan dan mengugut untuk membunuh sekiranya permintaan mereka tak ditunaikan iaitu pembebasan ratusan tahanan Lebanon di penjara Israel.

Salah seorang penumpang merupakan tentera laut Amerika Syarikat Robert Dean Stethem yang telah dibunuh dan mayatnya ditinggalkan di atas tarmac lapangan terbang Beirut. Selepas perundingan dibuat, kesemua orang tebusan telah dibebaskan.

Kes ini telah disebut semula pada tahun 2019 apabila seorang lelaki Lebanon ditahan atas insiden tersebut namun dibebaskan kerana kesalahan identiti.

4. Pesawat EgyptAir 648 (1985)

Images 6

Sebelum insiden 9/11 berlaku, Pesawat EgyptAir Flight 648 telah dianggap sebagai insiden rampasan paling terkenal dalam sejarah penerbangan ekoran jumlah kematian sebanyak 60 orang dan jumlah pihak yang terlibat.

Rampasan ini berlaku ke atas penerbangan ke Cairo dari Athens yang bermula 10 minit selepas pesawat berlepas. Tiga anggota militan Palestin, Organisasi Abu Nidal telah mengambil alih penerbangan dan mula membahagikan penumpang Israel dan Amerika dari penumpang lain.

Di dalam penerbangan ini juga terdapat seorang pengawal keselamatan Mesir yang telah menembak mati salah seorang pengganas sebelum dia ditembak. Insiden ini telah menyebabkan kabin kehilangan tekanan dan memaksa kapten untuk membuat pendaratan kecemasan di Malta berbanding Libya seperti yang diarahkan oleh perampas.

Apabila tiba di sana, berlaku perundingan di antara kerajaan Malta dan perampas yang mengatakan mereka akan membunuh satu orang setiap 15 minit sekiranya kerajaan tak benarkan mereka untuk mengisi minyak.

Ali Rezaq yang bertindak sebagai ketua perampas telah membunuh lima orang iaitu dua rakyat Israel dan tiga rakyat Amerika selepas permintaannya tak dipenuhi.

Insiden ini telah mendapat reaksi yang kuat dari kerajaan Barat dan selepas melakukan perbincangan diplomatik dengan Malta, mereka telah menghantar komando Mesir yang dilatih di Amerika Syarikat untuk menyelamatkan orang tebusan.

Pasukan ini telah menyerang pesawat tersebut dengan meletupkan bahan letupan yang berlebihan sehingga menyebabkan api yang marak. Mereka juga turut melakukan tembakan di dalam kapal terbang dan membunuh penumpang termasuk pembantu juruterbang.

Ali Rezaq telah terselamat dari ditembak selepas dia menyamar sebagai orang tebusan dan dibawa ke hospital. Dia kemudiannya telah dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan hanya menghabiskan tujuh tahun sebelum dihantar ke Amerika Syarikat dan kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di sana.

5. MH653 (1977)

Tg Kpg 5

Selain disenaraikan sebagai nahas nombor satu paling membawa maut pernah berlaku di Malaysia, Ia juga merupakan insiden pertama rampasan pesawat yang pernah berlaku di negara ini. Tragedi yang berlaku pada 4 Disember 1977 ini bermula apabila penerbangan MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 7.21 malam dan dijangka akan transit Lapangan Terbang Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) sebelum meneruskan perjalanan terakhir ke Singapura.

Namun, pada jam 7.54 malam, Kapten G.K. Ganjoor telah memberitahu menara kawalan udara Subang bahawa terdapat masalah di atas kapal yang ketika berada pada ketinggian 4,000 kaki. Dia mengatakan yang terdapat perampas di atas kapal.

Selepas mendapat amaran tersebut, pihak menara kawalan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Pesawat yang sepatutnya membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Subang ini telah diarahkan pengganas untuk terus mendarat di Singapura.

Sekitar jam 8.15 malam, semua komunikasi dengan MH653 telah terputus dan pesawat tersebut tidak dapat dikesan melalui radar lagi. 20 minit kemudian, penduduk Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Johor telah terdengar bunyi letupan yang amat kuat dan melihat bangkai kapal terbang tersebut sedang terbakar di dalam paya.

Akibat dari ini, dilaporkan seramai 100 mayat telah ditemui berkecai. Kesemua mangsa di dalam pesawat tersebut meninggal dunia ketika mereka hanya 15 minit sahaja lagi hampir sampai ke Singapura.

Di dalam pesawat ini juga terdapat beberapa individu penting yang terkorban antaranya merupakan Menteri Pertanian, Datuk Ali Ahmad, Duta Cuba, Mario Garcia Inchausteghi dan isteri, Usahawan Jepun, Tomio Gotto, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican, Dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime.

Sumber: Airport Technology, NST

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.