in

3 Gadis Pamer Aksi ‘Superman’ Atas Lebuhraya Ditahan Polis, Rupanya Dari Kelab Motosikal ‘Awek Melaka’

geng awek melaka kena tahan buat aksi superman

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Beberapa hari lalu, tular video di laman X memaparkan aksi bahaya yang dilakukan oleh penunggang motosikal wanita di Lebuhraya Utara-Selatan yang membimbangkan pengguna jalan raya.

Susulan tularnya video terbabit, pihak polis memaklumkan bahawa mereka telah menahan tiga gadis yang mempamerkan aksi ‘Superman’ itu semalam.


Artikel berkaitan: Penunggang Motosikal Melambung Setinggi Tiang Lampu Maut Lepas Dirempuh Kereta Di Muar

Artikel berkaitan: Rempuh Penunggang Motosikal Dekat Lampu Isyarat, Warga Emas Mengaku Tidak Bersalah

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pihaknya mengesan video klip yang dimuat naik di laman X itu sekitar jam 5.45 petang, pada Ahad lalu.

Klip video itu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang di lebuh raya terbabit.

“Bertindak atas maklumat itu, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Trafik Daerah (BSTD) Melaka Tengah membuat tangkapan terhadap tiga remaja perempuan di sekitar Bandar Melaka, semalam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut pihak polis, gadis-gadis itu berusia di antara 16 hingga 18 tahun dan motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan mereka telah dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Hasil soal siasat mendapati kesemua suspek adalah dari kelab motosikal ‘Awek Melaka’ dan menetap di negeri berkenaan.

Suspek dalam perjalanan pulang secara konvoi dari Serdang 

Mohd Azman juga berkata, sebelum kejadian, suspek difahamkan dalam perjalanan pulang secara konvoi dari sebuah kedai makan di Serdang, Selangor.

Suspek juga dikatakan mengaku menjadikan lebuhraya itu sebagai lokasi melakukan aksi berbahaya kerana terpengaruh di antara satu sama lain.

Susulan itu, pihak polis telah mengeluarkan tujuh saman terhadap suspek terbabit atas pelbagai kesalahan.

JSPT akan sentiasa melaksanakan operasi mencegah samseng jalanan secara berterusan bagi membanteras kegiatan itu yang membahayakan keselamatan orang ramai.

“Pada masa sama, JSPT komited untuk menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi penunggang motosikal yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang lalu lintas,” katanya.

Sebelum ini, video aksi bahaya penunggang motosikal tersebut yang tular di X telah menerima kecaman hebat netizen yang berasa ngeri melihat tindakan berani mati mereka itu.

Berhati-hatilah di jalan raya. Tambah-tambah pula di bulan Ramadan ni. Kalau jadi apa-apa tak dapat nak beraya nanti. 

Sumber: Buletin TV3, X

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.