Seorang pengguna Threads meluahkan rasa terkejut selepas mendapati tandas di sebuah pusat beli-belah, Amcorp Mall, tampil cantik dan bersih jauh berbeza daripada keadaan luar pusat beli-belah tersebut yang nampak ‘menyeramkan’.
Untuk makluman, Amcorp Mall (singkatan kepada Arab-Malaysian Corporation Mall) merupakan sebuah pusat beli-belah yang dibuka pada tahun 1998 dan terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Menerusi satu hantaran, pengguna @/inihafizlah berkata dia sama sekali tidak menyangka keadaan tandas di pusat beli-belah itu begitu selesa dan terurus, berbanding imej luaran bangunan yang kelihatan agak lama.
“Unexpected gila tandas kat Amcorp Mall ini. Bangunan dan tandas dia memang tak ‘matching’ langsung. Terkejut betul masa masuk tandas,” tulisnya.

Artikel berkaitan: Pembukaan Rasmi Sunway Square Mall – Nadi Gaya Hidup Dan Rekreasi Terbaharu Komuniti Sunway City Kuala Lumpur
Artikel berkaitan: Dapur Pawagam Di IOI City Mall Terbakar, Hampir 30 Peratus Musnah
Bagi mereka yang kurang biasa dengan Amcorp Mall, pusat beli-belah ini sebenarnya cukup terkenal dalam kalangan peminat barangan vintaj serta mainan ‘rare’ dan sering menjadi tumpuan warga kota terutama pada hujung minggu.
Meninjau ke ruangan komen, ramai pengguna lain turut bersetuju bahawa keadaan tandas di Amcorp Mall jauh lebih baik berbanding beberapa pusat beli-belah lain, walaupun keadaan luarannya sering disifatkan sebagai agak ‘menyeramkan’.
Ada juga yang berkongsi bahawa tandas di pusat beli-belah tersebut sebenarnya baru sahaja dinaik taraf.
“Memang pengurusan sengaja naik taraf tandas dan surau supaya nampak cantik dan menenangkan. Sebab kawasan beli-belah dia sangat ‘menyeramkan’ untuk dompet kita,” kata Shah.
“Sesungguhnya tandas di sini paling bersih dan sentiasa kering. Semoga syurga menjadi tempat kakak-kakak pembersih yang sentiasa menjaga kebersihan tandas Amcorp Mall ini,” tulis Fiqah.
“Wah, sudah naik taraf. Tahniah Amcorp,” komen seorang lagi pengguna.
Kini, hantaran tersebut telah menerima lebih 3,300 tanda suka dan 136 komen.
Sumber: Threads inihafizlah
