Selepas lebih setahun melakukan ujian dan penambahbaikan, aplikasi WhatsApp kini melancarkan fungsi pembayaran digital buat pengguna mereka.
Aplikasi yang dimiliki oleh Facebook ini mengumumkan bahawa pengguna di Brazil akan menjadi yang pertama dalam menggunakan Facebook Pay, servis yang membolehkan pengguna untuk menghantar dan menerima wang hanya melalui WhatsApp.
Menurut laman web WhatsApp, servis pembayaran digital ini adalah percuma buat pengguna biasa, namun syarikat mereka akan mengenakan caj servis kepada akaun bisnes yang mahu menggunakan Facebook Pay.
Untuk mengaktifkan Facebook Pay, pengguna perlu memaut akaun WhatsApp kepada kad kredit atau debit, dengan menggunakan kata laluan enam digit pin atau cap jari untuk proses pengesahan. Buat masa kini di Brazil, WhatsApp telah bekerjasama dengan Banco do Brasil, Nubank dan Sicredi untuk proses transaksi Facebook Pay.
Sebelum ini, Facebook telah melakukan cubaan sistem transaksi ini di India (menggunakan sistem berlainan), namun menghadapi beberapa masalah teknikal yang kini masih dalam proses baik pulih. Dengan pengguna bulanan aktif seramai 120 juta pengguna, Brazil menjadi pilihan WhatsApp untuk menjadi negara pertama pelancaran Facebook Pay ini.
Jika Facebook Pay sudah stabil dan mula dilancarkan di Malaysia, mungkin duit raya boleh diberi tanpa menggunakan sampul!
Sumber: TechCrunch
BACA: Facebook Minta Maaf Lepas Terjemah Nama Presiden China, Xi Jinping Kepada ‘Encik Sh**hole’