Tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang wanita bertindak keterlaluan dengan ‘naik tangan’ kepada pemandu teksi warga emas sehinggakan kopiahnya tercampak di atas jalan raya.
Menerusi rakaman video dashcam berdurasi 18 saat itu, difahamkan kemalangan berlaku apabila sebuah teksi berwarna biru melanggar bahagian belakang kereta berwarna putih di lorong kanan sebuah lebuh raya.
Akibat pelanggaran, wanita yang dipercayai pemilik kereta putih itu dilihat meluru ke arah pemandu teksi terbabit.
Artikel berkaitan: “Ingat bank rugi ke?” – Netizen Anggap Tindakan Wanita Jahanamkan Kereta Sendiri Kurang Bijak
Dalam keadaan beremosi, wanita berkenaan bertindak kasar dengan menolak kepala pakcik terbabit hingga menyebabkan kopiah yang dipakainya tercampak ke jalan.
Video kejadian : https://t.co/hVYdzYSDAc
— AE (@arfdy12) February 9, 2025
Pemandu teksi tersebut dilihat tidak pula melawan dan hanya menunduk untuk mengambil semula kopiahnya.
Menerusi video yang tular, dapat dilihat bahagian hadapan Toyota Innova berkenaan kemek teruk berbanding bahagian belakang Proton Saga berwarna putih itu.
Ramai anggap tindakan wanita itu biadab
Kejadian ini mengundang pelbagai reaksi netizen, rata-ratanya mengecam sikap kurang ajar individu terbabit terhadap warga emas.
Majoriti netizen meluahkan rasa amarah kerana wanita terbabit tidak sepatutnya berbuat demikian, sebaliknya perlu berlemah lembut dengan orang yang lebih tua.
Malah, perbuatan melempar dan mencampakkan songkok atau kopiah yang lazimnya terletak elok di atas kepala adalah tindakan biadab serta tidak boleh diterima sama sekali.
Sepatutnya, wanita berkenaan mengawal emosinya dan masalah boleh selesai sekiranya kedua-dua pihak berbincang dengan cara baik.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan lokasi dan waktu kejadian itu berlaku, bahkan belum ada sebarang perkhabaran daripada kedua-dua pihak.
Sumber: Facebook