Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Serembah hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang wanita pada hujung bulan lalu.
Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, membuat pengakuan tersebut dan memohon dibicarakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, anggota tentera itu dengan sengaja menumbuk kepala seorang wanita berusia 28 tahun di Taman Satria, Senawang, kira-kira jam 10.20 malam pada 29 Mac lalu.
Artikel berkaitan: Anak Dilanggar Ketika Melintas, Bapa Nekad Tumb*k Pemandu Wanita
Artikel berkaitan: Wanita Di Melaka Ditahan Polis Kerana Serang Pengunjung, Bukan Culik Budak
Jika bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan memohon tarikh sebutan semula.
Peguam mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung dua anak masih kecil dan ibu bapa serta isteri. Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Terdahulu tular satu klip video memaparkan seorang pemandu kereta wanita ditumbuk seorang lelaki dekat Taipan Senawang.
Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan bengang kerana mendakwa anaknya dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Axia berkenaan ketika melintas jalan.
Akibat tindakan lelaki itu, pemandu wanita mengalami lebam di bahagian rusuk sebelah kanan dan bengkak di bahagian belakang kepala.
Sumber: Berita Harian