Kerana mulut, badan binasa. Itulah gambaran yang tepat untuk apa yang terjadi di Banting petang semalam.
Menurut Harian Metro, seorang lelaki bertindak menikam dan mencekik rakan sekerjanya yang merupakan seorang kerani tempat mereka bekerja di sebuah kolej kemahiran.
Difahamkan suspek yang bekerja sebagai pembantu makmal bertindak sampai macam tu sekali sebab bengang bila mangsa, Zainah Mahmod, 57, kerap menyindirnya mempunyai hubungan sulit dengan seorang kakitangan di sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata pihak polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada suspek sendiri dan apabila ditemui, suspek hanya duduk dalam keadaan tenang di samping mangsa.
“Ketika menghubungi polis pada jam 2.40 petang, lelaki itu (suspek) turut memberitahu sudah menikam dan mencekik wanita berkenaan sehingga mati.”
“Hanya suspek dan mangsa berada di tempat kejadian. Beberapa kesan tikaman turut ditemui di leher dan badan wanita itu, selain pisau yang digunakan suspek untuk membunuh.”
Selain itu, difahamkan suspek yang baru je bekerja di situ sejak tiga bulan yang lalu juga menjalani rawatan kemurungan di hospital selain pernah melakukan cubaan membunuh diri.
Sementara itu, seorang guru mendakwa suspek kelihatan gelisah lepas dipercayai membunuh dan menggambarkan suspek sebagai seorang yang peramah dan kerap berbual dengannya.
“Suspek juga seorang yang ceria dan rajin menegur semua guru, dan kami sememangnya terkejut dengan kejadian ini.”
“Namun, ketika memasuki pejabat kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi, dia (suspek) hanya menundukkan kepala apabila saya bertanya di mana Pengarah (kolej) sambil menunjukkan ke arah bilik. Dia dilihat seolah-olah memikirkan sesuatu yang mahu dilakukannya.”
Mangsa yang juga ketua kerani di kolej berkenaan dan seorang ibu tunggal dikatakan sebagai seorang pekerja yang baik dan komited.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan.
Aduhai, kesiannya lah bila jadi macam ni.