Semalam kita semua dikejutkan dengan berita sebuah pesawat ringan telah terhempas di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar.
Akibat dari kemalangan ini, dua individu lelaki warga tempatan yang berumur 30-an dan 40-an yang merupakan juruterbang dan pembantunya telah ditemui di dalam kokpit pesawat yang tertimbus di dalam tanah sedalam dua kaki.
Berikut merupakan kronologi insiden pesawat ringan terhempas yang berlaku samalam:
Artikel berkaitan: [TERKINI] CAAM Sahkan Ada 2 Penumpang Termasuk Juruterbang Dalam Nahas Pesawat Terhempas Di Klang
Artikel berkaitan: Nahas Pesawat Terhempas Di Elmina Ulangi Tragedi 1977 Di Tempat Sama, Ini Apa Yang Berlaku…
13 Februari 2024
1.28 petang
Pesawat ringan BK160 Gabriel berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang bagi tujuan penerbangan rekreasi dan di dalam pesawat terdapat dua penumpang iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang.
1.35 petang
Pesawat telah terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara tujuh minit selepas berlepas dari lapangan terbang.
Ekoran tiada panggilan kecemasan yang diterima dari juruterbang, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur telah diaktifkan serta merta bagi mengenalpasti lokasi pesawat.
1.45 petang
Pesawat dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat sedalam lebih dua meter di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar.
1.56 petang
Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia telah menerima panggilan mengenai pesawat terhempas dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan misi menyelamat.
3.30 petang
Seorang saksi, Jinaidi Nasiran melaporkan bahawa dia telah melihat pesawat ringat tersebut hilang kawalan sebelum terjunam disusuli bunyi dentuman kuat sebelum melihat pesawat berkenaan terbenam dalam tanah.
4 petang
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengatakan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.
5.25 petang
Empat individu dipercayai waris kepada mangsa pesawat terhempas telah tiba di lokasi kejadian.
5.30 petang
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Wan Omar mengesahkan dua mangsa maut dalam nahas ini iaitu mangsa pertama, juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 dan pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina, 42.
Siasatan awal mendapati, pesawat tersebut sedang melakukan penerbangan rekreasi sebelum terjunam di kawasan ladang kelapa sawit dengan 45 peratus badan pesawat terbenam ke dalam tanah.
Operasi membawa keluar mangsa yang tertimbus menggunakan jengkaut dan mencari serpihan bangkai pesawat dalam linkungan 50 meter radius telah dijalankan dengan bantuan seramai 150 anggota dari pelbagai agensi.
7.55 malam
Mayat Daniel dan Roshaan berjaya dibawa keluar dari bangkai pesawat sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah bagi tujuan bedah siasat dan pengecaman.
14 Februari 2024
Manakala sebentar tadi, seorang pegawai agensi bawah Kementerian Pengangkutan melaporkan bahawa pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas semalam ini tidak mempunya kotak hitam, kotak perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan serta sistem kedudukan sejagat (GPS).
Ekoran ini, punca pesawat tersebut terhempas sukar untuk dikenal pasti dan siasatan mungkin akan mengambil masa kira-kira setahun.
Tambahnya lagi, serpihan pesawat akan dibawa ke hangar berdekatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk siasatan lanjut di mana ia akan ‘dibina’ semula untuk mengenalpasti punca dan seterusnya dibawa ke makmal.
Seorang saksi ada memberitahu terlihat sayap pesawat patah di udara sebelum terhempas namun begitu punca awal pesawat terhempas sukar dikenal pasti dan kemungkinan punca kejadian akan dikaji semula.
Selain itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengatur gerak pegawai bagi menyantuni dan memberikan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa nahas pesawat ringan ini.
Sumber: Berita Harian, Awani, Buletin TV3, Harian Metro