Kelab Paris Saint-Germain (PSG) pada Ahad semalam telah mengesahkan bintang popular Les Parisiens, Lionel Messi kini positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin.
Menjelang perlawanan Piala Perancis, bintang bola sepak berusia 34 tahun itu dikatakan positif bersama tiga lagi pemain lain iaitu pertahanan penuh Juan Bernat, penjaga gol pelapis Sergio Rico dan pemain tengah remaja Nathan Bitumazala.
Keempat-empat mereka akan terlepas perlawanan menentang Vannes pada jam 4.10 pagi (waktu tempatan) hari ini. Namun, sementara menunggu ujian negatif, mereka berkemungkinan perlu bersedia bagi pertembungan dengan Lyon pada Ahad depan untuk perlawanan League 1.
Sebagai rekod, Messi yang menyertai PSG pada Ogos lalu telah berjaya menjaringkan enam gol dalam 16 perlawanan bagi semua pertandingan untuk pasukan Paris itu. Namun, dia hanya berjaya menjaringkan satu gol sahaja dalam 11 penampilan liga untuk kelab tersebut walaupun telah menjaringkan lima gol dalam Liga Juara-Juara.
Nampaknya, prestasi PSG akan sedikit tergugat dengan ketiadaan empat pemain ini serta dikhabarkan Neymar juga tidak dapat beraksi kerana masih dalam tempoh rawatan akibat kecederaan buku lali di Brazil. Dia juga dikatakan akan berehat selama tiga minggu lagi.
Perancis melaporkan sebanyak 219, 126 kes baharu Covid-19 yang disahkan dalam tempoh 24 pada Sabtu lalu, telah menjadikan ia sebagai hari keempat berturut-turut negara tersebut merekodkan lebih 200,000 kes.
Baca: Lagenda Bola Sepak Diego Maradona Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung Di Usia 60 Tahun

