Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi, lapor NST.
Hakim Izralizam yang membaca keputusan kes pada 10 pagi tadi berkata, Siti Bainun telah didapati bersalah menganiaya dan mengabai Bella hingga ke tahap remaja tersebut mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Bainun sebabkan Bella alami PTSD
Beliau juga mendapati Bella mengalami kerosakan emosi selepas menunjukkan simptom Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) selepas dia diletakkan di bawah penjagaan Siti Bainun.
Pada masa yang sama, Izralizam menolak testimoni yang diberikan Siti Bainun pada peringkat pembelaan yang mana dia memberi keterangan berhubung kecederaan fizikal Bella disebabkan air panas yang tertumpah selepas mendapati kenyataan tersebut adalah khabar angin kerana Siti Bainun tiada di rumah ketika kejadian itu berlaku.
Izralizam juga mendapati Siti Bainun membuat cerita palsu mengenai insiden air panas yang tertumpah yang mana insiden tersebut didapati tak pernah berlaku daripada testimoni tertuduh.
Menurutnya lagi, ia tidak logik apabila kecederaan Bella – kesan terbakar dan parut yang banyak kelihatan pada tubuh mangsa – adalah kesan daripada air panas yang tertumpah.
Izralizam juga membuat kesimpulan daripada keterangan saksi pendakwaan yang mana ia tidak logik bahawa kecederaan itu hanya dari satu insiden.
Oleh itu, Hakim mendapati keraguan munasabah telah gagal dibangkitkan pada akhir peringkat pembelaan dan menjatuhkan hukuman terhadap pengasas berusia 31 tahun itu di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Baca: “Saya lebih sayang Bella berbanding anak lain sebab kelakar dan manja” – Siti Bainun