Pelakon popular, Fasha Sandha tidak menyangka pengikut Instagramnya naik mendadak sehingga lebih 25,000 orang selepas videonya ‘berendam’ bersama suami di muat naik di laman tersebut.
Fasha berkata, dia menerima kecaman hebat gara-gara video tular tersebut. Bagaimanapun, masih ramai peminat yang sanggup ‘follow’ dan setia dengannya walaupun selepas dikecam hebat.
“Pengikut saya naik 25,000 orang selepas video itu tular. Sebenarnya, mereka yang ikut saya lebih ramai, jadi saya saya hargai. Walaupun ada yang cakap tak mahu ‘follow saya lagi, tetapi pelik sebab yang ikut lebih ramai.
“Mungkin ada yang suka dengan konsep pemasaran seperti itu sebab lebih ‘real’ dan berbeza daripada konsep biasa. Alhamdulillah, saya masih dipercayai dan diberi ruang,” katanya.
Artikel berkaitan: ‘Tak sesuai, boleh timbulkan fitnah’ – Dr Izhar Ariff Ulas Isu Video Mesra Fasha Sandha & Suami
Artikel berkaitan: ‘Saya hanya menjalankan tugas’ – Fasha Sandha Buka Mulut Isu Video Berpeluk Dengan Suami
Tambah Fasha, video tersebut dimuat naik bukan untuk meraih publisiti murahan, sebaliknya atas komitmen sebagai duta bagi jenama produk kecantikan berkenaan.
“Bagi saya, apabila diberi tugasan, itu adalah komitmen saya. Kalau ada sesetengah pihak sensitif dan tak boleh terima, saya tidak boleh buat apa-apa. Ada yang tidak suka dan ada juga yang boleh terima.
“Video itu sebenarnya adalah contoh untuk orang yang sudah berkahwin, selain mahu memberi inspirasi mengenai kasih sayang suami isteri.
“Sebagai wanita bekerjaya, saya tak pernah lupa keperluan suami. Saya mahu menjaga suami dengan sebaiknya. Itu adalah cara untuk memberi inspirasi dan saya masih cuba menjadi isteri terbaik,” katanya.
Bagaimanapun, Fasha menjelaskan, dia terpaksa menarik balik video berkenaan buat sementara waktu kerana mahu berkongsi rakaman penuh, tidak lama lagi.
“Apa sahaja pandangan kami terima. Kami mahu tunjukkan kebahagiaan bersama. Ini bukan mahu menunjuk-nunjuk, tapi sebagai momen kasih sayang untuk diingati anak-anak pada masa akan datang,” katanya.
Sumber: Berita Harian