Bakteria Salmonella merupakan salah satu bakteria yang berpunca daripada pencemaran silang daripada makanan dan daging mentah ke makanan yang telah dimasak dan ianya boleh berlaku semasa penyediaan, penyimpanan atau pencemaran silang daripada pengendali makanan kepada haiwan.
Walaupun ia biasanya tidak membawa maut, bakteria ini boleh menyebabkan sakit sekiranya makanan yang dimakan adalah mentah atau kurang masak. Mereka yang terkena jangkitan daripada bakteria ini boleh mengalami cirit-birit, demam, muntah-muntah dan kekejangan perut.
14 Oktober lalu, pihak berkuasa Singapura telah menarik balik telur-telur ayam dari Malaysia yang diimport ke sana baru-baru ini selepas telur-telur berkenaan dikesan mempunyai Salmonella Enteridis.
Menurut laporan, telur itu dihasilkan oleh salah satu pengeluar telur terbesar di Malaysia, yang juga merupakan syarikat tersenarai awam di Johor.
Oleh yang demikian, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah memuat naik satu panduan untuk menyimpan telur menerusi akaun Twitter rasmi mereka @BKKMputrajaya.
BKKM mengesyorkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan bakteria berlaku dan sebagai panduan seperti memilih telur yang tidak retak, simpan telur dalam bekas bersih dan tertutup sebaik sahaja dibeli, masukkan ke dalam peti sejuk dan hanya membasuh telur berkenaan apabila hendak dimasak sahaja.
Tambah BKKM dalam bebenang berkenaan lagi, langkah yang disyorkan amat penting kerana telur mudah mengalami kerosakan ataupun busuk. Jadi, ianya perlu disimpan dan dimasak dengan sempurna.
Selain itu, telur mempunyai lapisan luar kulit semulajadi yang melindungi liang-liang kulitnya dari dimasuki bakteria dan sekiranya telur-telur ini dibasuh dan disimpan lama, lapisan berkenaan akan hilang dan ianya akan memudahkan bakteria untuk menjangkiti telur tersebut dan berlakunya pencemaran.
Menurut perkongsian pakar kesihatan holistik, Amy Leigh Mercee, sekiranya telur dibasuh sebelum dimasak, air tersebut boleh ‘membantu’ bakteria Salmonella ini memasuki telur kerana sifat kulitnya yang berliang.
Perkara ini lebih teruk sekiranya telur dibasuh menggunakan air paip sejuk yang mengalir dan boleh menyebabkan bakteria berkenaan tersekat pada kulit telur yang dibasuh tersebut.
Tambahnya, sekiranya telur yang dibeli kelihatan bersih, ianya tidak perlu dibasuh. Sekiranya perlu sekalipun, Amy menyarankan telur yang ingin dimasak dilalukan dengan air suam sekadar untuk membuang kotoran.
Sumber : BKKM | The Rakyat Post
Baca : Letak Ayam Proses Atas Lantai Berlumut & Berdaki, DBKL Arah Pusat Sembelih Ayam Cheras Ditutup