Pada pagi Rabu (28 Oktober), seorang pemandu SUV ditemui rentung selepas kereta itu terbakar berhampiran Stesen LRT Kota Warisan, Sepang. Menurut Harian Metro, 7 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA bersama Unit Forensik Kebakaran digegaskan ke lokasi selepas menerima laporan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata sebaik tiba pada jam 4.47 pagi, pihaknya mendapati SUV Toyota Harrier tersebut sudah terbakar sebelum operasi memadam kebakaran dijalankan.
“Toyota Harrier itu terbakar 100 peratus, manakala pemandunya rentung. Identiti mangsa tidak diketahui. Mayat mangsa diserahkan kepada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk siasatan dan tindakan lanjut.”
Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan terbaru, polis mengesahkan mangsa yang rentung 90 peratus itu adalah mangsa bunuh.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berdasarkan siasatan, kereta tersebut milik seorang lelaki India.
Polis turut menemui kesan kebakaran kira-kira 10 meter dari kenderaan dan mangsa tersebut ditemui. Usaha mengeluarkan mayat dilakukan oleh anggota bomba kerana ia melekat pada cairan kereta dan mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Baca: “Bukan GF tapi kena culik” – Wanita Ditahan Bersama Suspek Curi Kereta Polis Rupanya Mangsa Keadaan