Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengesahkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz kini menjadi ahli PKR. Menurutnya, permohonan Tengku Zafrul diluluskan Majlis Pimpinan Pusat pada mesyuarat 26 Julai lalu. Semalam, Fuziah mengesahkan keahlian Tengku Zafrul di PKR Ampang.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Tengku Zafrul sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan dalam Umno pada 30 Mei lalu, sekali gus melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Ketua Umno Kota Raja. Beliau menyertai Umno sejak 1997, namun lebih dikenali sebagai teknokrat apabila dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam kabinet Muhyiddin Yassin pada Mac 2020 dan mengekalkan jawatan itu di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Keahliannya dalam Umno hanya diketahui umum menjelang PRU15 apabila beliau dinamakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, namun tewas dalam pertandingan itu. Pada April 2024, beliau melepaskan jawatan Bendahari Umno Selangor atas alasan tiada usaha bersungguh-sungguh memperkukuh parti di negeri itu selepas kekalahan teruk pada PRN.
Spekulasi mengenai langkahnya meninggalkan Umno mula tersebar sejak Disember lalu. Penggal kedua dan terakhirnya sebagai Senator dijangka tamat hujung tahun ini, yang turut menandakan tempoh akhir beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR dilihat sebagai langkah strategik parti itu menjelang pilihan raya akan datang. Kehadirannya dijangka menambah kekuatan PKR selain memberi isyarat bahawa parti berkenaan terus menarik tokoh berprofil tinggi dari pelbagai latar belakang politik.
Baca: MB Selangor Tepis Khabar Angin Tengku Zafrul Akan Ambil Alih Jawatan Menteri Besar