Biarpun jumlah keseluruhan kos subsidi elektrik bakal mencecah RM30 bilion, pihak kerajaan memberi jaminan bahawa tarif elektrik terhadap rakyat tidak akan dinaikkan kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan tersebut dikeluarkan beliau dalam satu sidang media yang diadakan di Bangunan Perdana Putra hari ini dan butiran tentang perkara itu akan diumumkan Menteri Sumber dan Tenaga Asli, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam masa terdekat.
Pun begitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tarif elektrik akan dinaikkan sedikit untuk kategori syarikat multinasional yang menjalankan perniagaan eksport produk ke luar negara.

Menurut Perdana Menteri lagi, pihak kerajaan bersetuju bahawa kenaikan tersebut pastinya akan membebankan rakyat dan turut mengakui jika kenaikan tidak dilakukan, ianya akan memberi kesan kepada kewangan negara sebanyak RM30 bilion.
“Berdasarkan laporan NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) baru-baru ini, kita memutuskan supaya cadangan awal untuk menaikkan tarif elektrik itu tidak diteruskan”
Tambahnya lagi, Menteri Sumber dan Tenaga Asli, Nik Nazmi akan membuat pengumuman tersebut dan sekiranya ada kenaikan, ianya akan dikenakan kepada syarikat multinasional yang mengeksport produk keluar negara kerana tarif yang dikenakan pada mereka ketika ini adalah terlalu rendah.
Jadi, kerajaan tidak lagi akan memberikan subsidi kepada syarikat gergasi yang mendapat keuntungan yang tinggi tersebut.
Tambahnya, kenaikan tersebut tidak akan memberikan kesan kepada rakyat mahupun syarikat industri kecil sederhana, syarikat pertanian serta pengeluar makanan secara amnya dan tindakan tersebut dilakukan selepas mengambil kira beban kewangan kerajaan yang kian meningkat.
“Keputusannya jelas, kita tidak akan membebankan rakyat, jadi keputusannya ialah tidak menaikkan tarif elektrik, kecuali mereka yang benar-benar kaya”
Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan beberapa inisiatif tambahan yang bakal diadakan dan sedang diperhalusi kementerian dan agensi berkaitan.
Baca : Jemaah Menteri Yang Terlibat Dengan Rasuah Akan Dipecat Serta Merta – Anwar Ibrahim

