Beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai tingkah laku seorang bapa yang mengendalikan akaun anak perempuannya sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.
Lebih mencetuskan kontroversi, bapa tersebut turut memanggil anaknya yang baru berusia lapan tahun sebagai “mini wife”.
Isu itu mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang menegaskan tindakan mengeksploitasi kanak-kanak di media sosial sama sekali tidak wajar, walaupun dilakukan oleh ibu bapa sendiri.
“Tindakan mengeksploitasi kanak-kanak dalam talian, walaupun oleh ibu bapa sendiri, adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima,” katanya menerusi hantaran di X.

Nancy turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang melaporkan isu berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK), selain memberi jaminan bahawa keselamatan serta kebajikan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan.
Katanya, pihak berkuasa akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang.
Artikel berkaitan: “Telefon berdering tertera ‘My Lovely Wife'” – Saksi Kemalangan Menangis Sampaikan Berita Kemalangan Maut
Artikel berkaitan: Idea Luar Biasa Ibu Bapa Siapkan Busana ‘Fashion Show’ Merdeka Anak Undang Perhatian Netizen

Difahamkan, selepas menerima pelbagai kecaman, bapa terbabit tampil dengan kenyataan panjang di Threads bagi menjelaskan situasi sebenar sambil memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung.
Menurutnya, beliau seorang bapa tunggal yang membesarkan anaknya sejak bayi dan kanak-kanak itu sudah terbiasa berhias kerana sering menemaninya ke pelbagai majlis kerja serta sosial.
Jelasnya lagi, istilah mini wife hanyalah ungkapan sarkastik untuk membalas segelintir pihak yang sering melabelkan anaknya dengan gelaran tersebut, malah beliau sendiri mengakui tidak pernah selesa dengan panggilan itu.
Walaupun penjelasan telah dibuat, ramai netizen masih meluahkan rasa kurang senang dengan kandungan video yang dimuat naik kerana berpendapat kanak-kanak seusia itu sepatutnya menikmati zaman kanak-kanak mereka, bukannya ditonjolkan dengan imej dewasa semata-mata demi konten media sosial.