Pentingkan diri betul!
Itulah ayat paling sesuai menggambarkan tindakan seorang lelaki yang menggunakan perkhidmatan ambulans sebagai ‘teksi’ bagi melakukan urusan hariannya.
Memetik laporan Global Times, lelaki yang hanya dikenali sebagai Wang itu baru sahaja dicekup polis selepas tindakannya menelefon ambulans untuk mengambilnya di sebuah pasar raya terbongkar.
Lebih mengejutkan, siasatan lanjut mendedahkan, Wang yang berasal dari Taiwan itu sebenarnya sudah menelefon ambulans sebanyak 39 kali dalam tempoh setahun dan meminta untuk dihantar ke sebuah hospital berdekatan rumahnya. Wang menggunakan alasan ‘tidak mahu berjalan kaki pulang’ sebagai motif tindakannya.
Menurut kenyataan polis Nantou County, Taiwan, Wang beberapa kali berpura-pura sakit sebelum menelefon ambulans untuk dihantar ke sebuah hospital berdekatan rumahnya.

Ketika dia ditahan baru-baru ini, jarak pasar raya dan rumahnya hanyalah 200 meter namun Wang tetap menelefon ambulans kerana tidak mahu berjalan kaki.
Untuk pengetahuan, di Taiwan, perkhidmatan ambulans sememangnya percuma untuk membawa pesakit ke hospital atau mana-mana pusat perubatan terdekat.
Kes terbabit dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan selepas pihak hospital mula curiga kerana meskipun Wang selalu mengadu sakit dan perlu menggunakan ambulans untuk ke hospital, lelaki terbabit tak pernah berjumpa mana-mana doktor di hospital berkenaan.
Polis telah memberi amaran kepada Wang yang dia berdepan hukuman denda sekiranya terus mengambil kesempatan ke atas fasiliti perubatan percuma di Taiwan. Pun begitu, Wang dilaporkan bertindak kasar dengan memaki-hamun polis ketika ditahan.
Sumber: Global Times
Baca: Sekeluarga ‘Kantoi’ Sewa Ambulans Swasta Untuk Balik Kampung