Semalam, rakyat Malaysia bersedih akan berita kematian salah seorang mangsa yang termakan keropok beracun. Mangsa, Muhamad Akil Syauqi Nur Sufian yang berusia 3 tahun telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.40 pagi, kata ibu mangsa, Nurain Hasnorizal.
Jajan digantung tinggi, dekat kawasan berhampiran hutan
Pun begitu, seorang pekebun yang mahu dikenali sebagai Am mendakwa jajan yang dicampur dengan racun tikus itu digantung pada ketinggian 1.2 meter, jadi sukar untuk kanak-kanak mencapainya. Selain itu, jajan tersebut diletakkan di kawasan laluan monyet berhampiran hutan, bukannya digantung pada pagar berdekatan jalan.
Tidak mungkin dua mangsa itu dapat mengambil makanan ringan tersebut yang diikat pada pagar kebun. Hanya terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada orang dewasa mengambilnya atau monyet ambil dan terjatuh di mana-mana.
Dakwanya lagi, kira-kira lima bungkus makanan ringan diletakkan pada pagar kebun dan tiga daripadanya sudah diambil monyet, manakala salah satunya hilang dan satu lagi masih berada di situ.
Warna bungkusan keropok lebih menarik
Dalam pada itu, racun tikus yang digunakan tidak berdaftar dan turut digunakan oleh beberapa pekebun lain di kawasan itu. Ia dijual di kedai-kedai sekitar Kulim selain dijual secara atas talian dengan harga RM3 sepeket.
Artikel berkaitan: Penyiasat KKM Temui Peket Racun Tikus Yang Diletakkan Dalam Keropok Dimakan 2 Beradik
Artikel berkaitan: “Ibu reda kalau abang nak pergi” – Mangsa Keropok Beracun Hembus Nafas Terakhir Di Sisi Ibu
Berdasarkan pengetahuan Am, monyet biasanya akan mengambil jajan tersebut kerana warna bungkusan yang menarik serta warna keropok yang terang membuatkan binatang tersebut akan menjilatnya apabila terkena pada jari. Pekebun juga tidak menggunakan buah kerana bimbang akan dijilat atau dimakan oleh lembu.
Bagaimanapun, adik lelaki Am yang juga seorang pekebun dan membela lembu ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Kulim, semalam untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Am yang mempunyai pertalian saudara dengan keluarga Allahyarham Muhammad Akil Syauqi turut hadir ketika majlis pengebumian kanak-kanak itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan.
Dia juga merupakan individu yang membawa arwah dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, ke Klinik Kesihatan Malau untuk mendapatkan rawatan pada hari kejadian.
Sumber: Kosmo!