Singapura cukup dikenali sebagai antara negara yang sangat ketat dalam penguatkuasaan undang-undang, termasuklah dalam soal kebersihan.
Bermula 1 Jun, pelanggan yang mengunjungi pusat penjaja, kedai kopi dan medan selera yang gagal memulangkan semula dulang dan pinggan ke tempat yang disediakan selepas makan akan dikenakan didenda yang lebih ketat.
Sebelum ini, peraturan tersebut sudah berkuat kuasa sejak 1 September 2021 bagi pusat penjaja dan 1 Januari 2022 bagi kedai kopi dan medan selera.
Namun, ia akan dikuatkuasakan di semua tempat makan awam di mana pelanggan yang melanggar peraturan akan terus diminta menyerahkan butiran diri, menurut Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura.
Amaran itu diumumkan bertujuan agar rakyat mahupun pengunjung tempat makan awam di republik itu lebih bertanggungjawab, lapor Mediacorp.
Ia sebagai memastikan tabiat baik diamalkan dan bertindak ke atas pelanggan minoriti yang kerap gagal membersihkan dulang dan pinggan mangkuk mereka.
Difahamkan, pesalah kali pertama akan terus dikenakan amaran, dan bukan lagi dinasihati, sementara pesalah berulang akan dikenakan denda sebanyak S$300 (RM995) atau didakwa di mahkamah.
Selepas peraturan yang dikenakan, kadar purata dulang dan pinggan mangkuk yang dipulangkan di pusat penjaja juga meningkat dari 65 peratus pada Ogos 2021 kepada 90 peratus sekarang.
Bagaimanapun, agensi itu menyatakan akan mengelakkan tindakan penguatkuasaan ke atas golongan kurang upaya, warga tua yang uzur dan kanak-kanak yang secara jelas tidak mampu membersihkan meja mereka.
Apa pandangan korang, jika Malaysia buat peraturan yang sama?
Baca: Cuba Potong Barisan Di Pusat Pemeriksaan Singapura, Lelaki Malaysia Dihukum Penjara 4 Bulan