Baru-baru ini tular beberapa gambar menunjukkan dua individu dipercayai pelancong asing yang hanya memakai bikini dan seluar pendek menunggang motosikal di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu.
Aksi dua individu dalam keadaan separuh bogel ini telah dirakamkan oleh pengguna jalan raya di sana sebelum gambar tersebut dimuat naik di media sosial dan mendapat kritikan netizen yang menyifatkan tindakan mereka sebagai tidak menghormati bulan Ramadan.
“Kita akan kenal pasti latar belakang”
Ekoran ini, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memberitahu bahawa kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan akan membuat penguatkuasaan yang lebih tegas di masa akan datang, lapor Sinar Harian.
Jika pelaku merupakan pelancong asing dan tidak tahu peraturan, kerajaan negeri akan menguatkuasakan garis panduan agar mereka ini mendapat maklumat yang jelas apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan di negeri ini.”
Ariffin turut menjelaskan bahawa garis panduan mengenai sensitiviti masyarakat di sana telah lama dikuatkuasakan termasuk terhadap pelancong asing yang datang bercuti di Terengganu.
Pelancong asing di pulau-pulau dinasihati mematuhi garis panduan sedia ada iaitu tidak boleh memakai pakaian tidak sopan atau berbikini di tempat terbuka atau di lokasi awam.
“Saya rasa perkara ini sudah dijelaskan secara menyeluruh dan sudah lama dipraktikkan dan diketahui umum. Sebagai pelancong mereka sepatutnya sensitif terhadap perkara ini.”
Untuk pengetahuan korang, pada tahun 2015 yang lalu, kerajaan Terengganu telah mengeluarkan garis panduan mengenai etika berpakaian yang dikhaskan kepada pelancong terutamanya pelancong wanita yang mahu mengunjungi pusat peranginan di negeri tersebut.
Peraturan tersebut tidak mewajibkan wanita dan lelaki mengikut 100 peratus kod berpakaian Islam. Bagaimanapun, pelancong asing dan tempatan harus berpakaian sopan. Jika gagal, mereka akan dipanggil untuk menghadiri sesi kaunseling.
Baca: [VIDEO] Penyu Akhirnya Muncul Semula Di Pantai Batu Burok, Terengganu Selepas 16 Tahun ‘Menghilang’