Kalau korang tengah cari festival Raya paling happening tahun ni, StarVendors KL Mega Raya Fest 2025 wajib masuk dalam list! Acara yang dinobatkan sebagai “Festival No. 1 Negara” ni bakal berlangsung dari 20 hingga 24 Mac 2025 di Lapangan Terbang TUDM, KL Base, dan ia menjanjikan pengalaman shopping dan hiburan 80 jam tanpa henti.
Selain menjadi tempat untuk mendapatkan pelbagai barangan dengan harga berbaloi, festival ini juga menawarkan pengalaman hiburan yang unik serta pilihan makanan yang luas. Kalau korang nak menikmati suasana yang penuh kemeriahan sebelum menyambut Aidilfitri, inilah peluang terbaik untuk berkunjung. Lagi best, masuk adalah percuma tau!
Jom tengok apa ada dekat StarVendors KL Mega Raya Fest 2025.
Shopping sampai puas!
StarVendors KL Mega Raya Fest bawa dua konsep utama untuk memenuhi keperluan pengunjung:
1. Indoor – Semua Keperluan Raya Ada Kat Sini!
Kalau korang nak cari baju raya, kasut, tudung, aksesori, barang kecantikan, kuih raya atau dekorasi rumah, zon Indoor ni tempat yang korang kena serbu. Banyak diskaun menarik dan harga promo yang tak boleh dapat dekat tempat lain!
2. Outdoor – Port Makan Wajib Singgah!
Untuk korang yang suka makan, zon Outdoor ni memang syurga makanan. Ada festival makanan yang menampilkan pelbagai jenis hidangan dari vendor tempatan. Korang boleh cari makanan tradisional, makanan viral, dan juga hidangan berbuka puasa serta bersahur yang confirm sedap!
Lebih 50 artis & influencer ada di StarVendors!
View this post on Instagram
Tahun ini, lebih daripada 50 artis dan influencer terkenal akan menyertai festival ini, bukan sahaja sebagai tetamu, tetapi juga sebagai vendor yang membuka booth mereka sendiri. Korang berpeluang untuk bertemu dengan selebriti kegemaran secara langsung, membeli produk keluaran mereka dan mungkin juga berborak serta bergambar bersama.
Antara selebriti yang bakal memeriahkan acara ini termasuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Kak KM, Dato’ Fizz Fairuz, Dato’ Afdlin Shauki, Chacha Maembong, Ako Mustapha, Noraniza Idris, Prince Syed & Fatin dan ramai lagi. Selain membuka gerai mereka sendiri, ramai daripada mereka juga akan mengadakan sesi meet & greet dan persembahan khas sepanjang festival berlangsung.
‘Hujan Duit’, goodie bags bernilai RM100,000 dan persembahan artis setiap hari
Selain peluang membeli-belah dan bertemu dengan selebriti, festival ini juga menjanjikan pelbagai kejutan istimewa untuk korang. Salah satu yang paling dinantikan adalah acara ‘Hujan Duit’, di mana wang tunai akan diberikan kepada pengunjung yang bertuah.
Tak cukup dengan itu, terdapat juga goodie bags bernilai RM100,000 yang akan diberikan kepada pengunjung terpilih.
Selain itu, korang juga boleh menikmati persembahan artis secara langsung sepanjang festival. Memang confirm meriah!
Kemudahan lengkap untuk pengalaman lebih selesa
Bagi memastikan keselesaan, StarVendors KL Mega Raya Fest 2025 turut menyediakan pelbagai kemudahan penting. Ruang solat disediakan bagi memudahkan pengunjung menunaikan ibadah tanpa perlu meninggalkan kawasan festival. Terdapat juga ruang khas untuk berbuka puasa dan bersahur untuk korang nikmati hidangan dengan lebih selesa.
Selain itu, kawasan tempat letak kereta yang luas turut disediakan untuk mengelakkan masalah kesesakan.
Pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga
Selain membeli-belah dan menikmati makanan, StarVendors KL Mega Raya Fest 2025 juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur. Kanak-kanak boleh berseronok dengan permainan khas seperti Supaa Doopa, aktiviti air, serta pelbagai permainan interaktif yang disediakan untuk memastikan mereka terhibur sepanjang festival berlangsung.
Bagi yang ingin menikmati suasana yang lebih santai, terdapat juga kereta berlampu yang menambahkan lagi kemeriahan suasana malam di festival ini. So korang jangan risau, angkut je anak-anak pergi festival ni!
Masuk percuma, tiada pendaftaran diperlukan
StarVendors KL Mega Raya Fest 2025 terbuka kepada semua dan masuk adalah percuma. Korang datang je pada bila-bila masa sepanjang 20 hingga 24 Mac 2025 dan nikmati pengalaman festival raya terbesar di Malaysia.
Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai StarVendors KL Mega Raya Fest 2025, korang boleh mengikuti laman media sosial rasmi:
- Instagram: @starvendors
- TikTok: @starvendors
Festival ini menjanjikan pengalaman yang unik dan tidak boleh dilepaskan, sama ada untuk membeli-belah, menikmati hiburan, atau sekadar bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Jangan lepaskan peluang untuk pergi ke StarVendors KL Mega Raya Fest 2025 tau!