Baru sahaja beberapa hari ditayangkan di platform penstriman Netflix, filem Mat Kilau sudahpun menjadi bualan hangat warganet di media sosial. Rata-ratanya mengkritik dan mempersoalkan kualiti filem itu sendiri yang dikatakan teruk.
Lebih mengejutkan, filem arahan Syamsul Yusuf itu turut menjadi tumpuan di Twitter dengan lebih 12,400 ciapan menggunakan kata kunci Mat Kilau.
Hasil tinjauan di media sosial mendapati, rata-rata penonton yang baru pertama kali menonton filem tersebut seolah-olah tidak berpuas hati dengan kualiti filem itu. Antara kritikan yang diberikan adalah kualiti sinematografi babak aksi yang dikatakan kucar-kacir dan memeningkan.
Malah, ada yang juga yang mempersoalkan skrip Mat Kilau yang dikatakan tidak menarik dan seolah-olah sedang mendengar ceramah. Sebagai contoh, ada yang berkata dialog yang digunakan oleh Wahid bersama isterinya nampak tidak asli dan tidak logik untuk digunakan di antara seorang suami dan isteri.
Selain itu, ada juga beberapa individu yang mempersoalkan kebenaran filem Mat Kilau yang dikatakan mencapat kutipan hampir mencecah RM100 juta selepas melihatkan kualiti filem ini yang tidak seberapa.
Habis menonton Mat Kilau di Netflix. Aku bagi 3/10. Plot cerita sangat tak menarik. Babak permulaan yang orang kampung kena bunuh yang Elly (Elly Suriaty) jerit jerit tu je aku dah mula rasa ‘off’ tapi cuba bawa bertenang layan.. skrip ‘cringe’ . Aku tak percaya filem ini raih 80 juta,” tulis pengguna Twitter.
Filem apakah ini Mat Kilau. 10 minit pertama saya sudah berhenti menonton. Kalau saya nak dengar ceramah saya boleh membuat carian di YouTube kan?” tulis seorang individu.
Untuk rekod, filem arahan Syamsul Yusuf ini berjaya mencipta sejarah negara apabila menjadi filem dengan jumlah kutipan tertinggi sebanyak lebih RM90 juta setelah ditayangkan di pawagam.
Kredit: Harian Metro
BACA: Skrip ‘Mat Kilau 2.0’ Sudah Ditulis Oleh Penulis Asal, Janji Lebih Menarik & Gempak