Polis mengesahkan berlaku serangan harimau yang mengakibatkan dua ekor lembu ternakan mati di Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Jumaat lalu.
Kejadian itu disedari pemilik ternakan kira-kira jam 6.30 petang apabila mendapati dua lembunya mati dengan kesan gigitan, manakala lima lagi dilaporkan hilang.

Artikel berkaitan: Lagi Kes Individu Dib*ham Harimau, Kali Ini Warga Myanmar Maut Diserang 3KM Dari Kawasan Pertama
Artikel berkaitan: “Perut harimau pun kempis” – Influencer TikTok Luah Rasa Hampa Dengan Keadaan Zoo Negara
Susulan laporan tersebut, anggota Balai Polis Tanah Hitam bersama pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah digerakkan ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan dan penilaian awal.
Berdasarkan siasatan awal, serangan dipercayai dilakukan harimau liar yang berkeliaran di kawasan berkenaan.
Pihak Perhilitan turut memasang kamera perangkap di beberapa lokasi strategik bagi mengesan pergerakan haiwan itu dan menentukan tahap risiko terhadap penduduk setempat.

Polis memaklumkan bahawa pemantauan berterusan akan dilakukan, selain maklumat terkini akan disalurkan kepada agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan masyarakat dapat dijaga. Semua langkah kawalan risiko sedang diselaraskan antara polis dan Perhilitan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kehadiran harimau atau ternakan yang hilang diminta menghubungi Balai Polis Tanah Hitam atau Perhilitan.
Polis turut menasihatkan penduduk agar berwaspada, tidak menghampiri kawasan hutan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi terhadap haiwan liar.
Sumber: Sinar Harian
