Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana sedang giat melaksanakan projek pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah-sekolah bagi memenuhi keperluan pertambahan murid Tahun 1 bagi sesi Kalendar Akademik 2027.

Sejumlah RM668 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pelaksanaan 524 projek yang melibatkan pembinaan sebanyak 1,780 bilik darjah tambahan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ia merangkumi pembinaan 1,255 bilik darjah aliran perdana dan 525 bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi menampung pertambahan sebanyak 43,925 murid aliran perdana dan 5,250 murid aliran PPKI.
KPM melalui JKR Sarawak turut melaksanakan 84 projek di Negeri Sarawak melibatkan pembinaan 210 bilik darjah tambahan yang merangkumi 140 bilik darjah aliran perdana dan 70 bilik darjah PPKI dengan anggaran kos sebanyak RM81.5 juta bagi menampung pertambahan sebanyak 4,900 murid aliran perdana dan 700 murid aliran PPKI.
Manakala di Sabah pula, KPM melaksanakan 73 projek melibatkan pembinaan 112 bilik darjah tambahan yang merangkumi 92 bilik darjah perdana dan 20 bilik darjah PPKI dengan anggaran kos sebanyak RM58 juta bagi menampung pertambahan sebanyak 3,920 murid aliran perdana dan 200 murid aliran PPKI.
Terkini, beberapa projek telah berjaya disiapkan mendahului jadual (ahead of time – AOT) termasuk SK Durian Mas, SK Banggol Peradong dan SK Kampong Tengah di Terengganu. Projek lain dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat menjelang bulan Disember 2026 untuk persediaan menerima pertambahan murid Tahun 1 pada sesi akademik yang akan datang.



Pembinaan projek bilik darjah tambahan yang sedang giat berjalan di seluruh negara adalah cerminan komitmen jitu Kerajaan terhadap agenda pendidikan negara dan bagi memastikan pelaksanaan kemasukan murid umur enam tahun ke Tahun 1 berjalan lancar seperti yang dirancang.
