Sejak semalam, kecoh diperkatakan mengenai sebuah video yang tular memaparkan seorang penunggang p-hailing berjalan kaki selepas motosikalnya telah disita oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Meskipun ramai yang mengecam tindakan JPJ, jabatan tersebut telah memberi penerangan bahawa tindakan itu dilakukan kerana penunggang tersebut tidak mempunyai cukai jalan dan insurans.
Artikel berkaitan: “Untuk keselamatan semua” – Tular Video ‘Rider’ Berjalan Kaki Lepas Motor Disita, Rupanya…
Artikel berkaitan: “JPJ tak kacau kalau motor ‘standard'”- Kecoh Isu JPJ Sita Motor Peserta Himpunan RX-Z Member
Penghantar makanan perjelas kisah sebenar
Menerusi laporan Harian Metro, rider berkenaan, Muhammad Shahrul Shah Abu Bakar, 26, tampil menjelaskan hal sebenar dan mengakui semua yang berlaku adalah kesalahannya sendiri.
Saya akui memang salah saya jadi terima saja hukuman malah anggap apa yang berlaku sebagai pengajaran,” katanya.
Menurutnya, motosikal yang ditunggang itu telah ditahan kemudian disita dalam satu operasi di Jalan Persiaran Negeri di Nilai, Negeri Sembilan kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Ketika itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja kerana syif tengah hari.
“Nak dijadikan cerita, ada operasi sekatan jalan raya dan salah saya kerana cukai jalan sudah tamat tempoh dan tiada insurans.
“Jadi, saya akur, tak melawan malah beri kerjasama dengan serahkan kunci serta motosikal kepada pihak berkuasa untuk disita,” katanya lagi.
Selepas motosikalnya disita, Muhammad Shahrul yang berasal dari Sungai Pelek ini terus berjalan kerana dia sudah meminta bantuan dari seorang rakan untuk mengambilnya di satu tempat.
“Saya tak berjalan sejauh itu”
Jelasnya lagi, ada juga di kalangan netizen yang memberitahu bahawa dia berjalan sejauh 4km tanpa arah selepas motosikalnya disita.
Saya ada baca juga komen netizen, ada yang kata saya jalan sejauh empat kilometer (km) tanpa arah.
“Itu semua tak benar kerana saya tak berjalan sejauh itu dan ketika kejadian saya dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan.
“Tapi mungkin ada yang buat penilaian berdasarkan gambar dan video tular,” katanya.
Muhammad Shahrul juga terkejut dan tidak menyangka kisahnya itu akan tular sehingga mendapat perhatian ramai.
Apa yang membuatkannya lebih terharu apabila pempengaruh Aisar Khaled sudi membelikan motosikal baru untuknya sebagai ganti.
View this post on Instagram
“Syukur Alhamdulillah, saya anggap pemberian itu sebagai rezeki dan terima seadanya walaupun ikutkan, saya boleh pinjam kenderaan ahli keluarga buat sementara waktu.
“Tak sangka sampai jadi begini dan terima kasih kepada semua netizen serta rakyat Malaysia yang mendoakan,” katanya.
Ujian ini katanya, tidak akan mematahkan semangat untuk terus mencari rezeki setelah menjadi penunggang p-hailing sejak lebih setahun lalu untuk menambah pendapatan.
Sumber: Harian Metro